Pegawai kesihatan penuhi impian jadi 'duyung'

Iklan
Nur Fathiyah Mahfuz, 37, memperagakan kostum yang digunakan ketika berenang dan beraksi sebagai duyung. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Aksi lincah Nur Fathiyah Mahfuz melibaskan ekor sambil berenang dan membuat pelbagai aksi di dalam laut tidak ubah seperti watak puteri duyung Ariel dalam filem animasi The Little Mermaid.

Namun, penampilan ikan duyung berusia 37 tahun itu sedikit berbeza dengan Ariel apabila kostum yang dikenakannya mengekalkan imej Muslimah.

Iklan
Iklan

Selain berhijab, Pegawai Keselamatan dan Kesihatan di sebuah hospital swasta itu mengenakan pakaian renang berketebalan sesuai, tidak jarang dan ketat serta menutup keseluruhan badan, ketika melakukan aktiviti berenang dan menyelam.

"Saya mahu mengubah persepsi dan penerimaan masyarakat bahawa sesiapa sahaja boleh merealisasikan impian menjadi duyung dan menikmati keindahan dasar lautan,” katanya kepada Bernama di sini.

Iklan

Mula berenang dan menyelam dengan kostum ikan duyung sejak lebih dua tahun lepas, Nur Fathiyah daripada Persatuan Jurulatih Selaman Profesional (PADI) difahamkan merupakan Jurulatih Duyung Melayu Muslimah dan berhijab pertama di rantau Asia Pasifik.

Selain melakukan aktiviti menyelam pada kedalaman sekitar 10 meter di laut tanpa menggunakan alat bantuan pernafasan dan gogal, beliau juga pernah menyertai persembahan di Shore Oceanarium Melaka bertemakan ‘Save The Ocean’ November tahun lepas, bagi mewujudkan kesedaran kepada orang ramai mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan laut.
Nur Fathiyah Mahfuz (dua, kiri) bersama Nazeyra Fadzaauny (kiri), Noor Syafika Nadhirah Hilaluddin (dua, kanan) dan Siti Tettie Hidayati Mohyi memperagakan kostum yang digunakan ketika berenang dan beraksi sebagai duyung. - Foto Bernama

Berkongsi pengalamannya, pemegang ijazah Sarjana Muda dalam bidang Bioteknologi Persekitaran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata beliau menjalani latihan dan kursus dikendalikan Pengajar Jurulatih Duyung PADI yang berpusat di Shah Alam, Selangor.

Iklan

"Kami juga perlu mendapat kelayakan dan pengiktirafan sebagai Duyung Lanjutan PADI dengan menjalani latihan menyelam memakai sut renang ikan duyung sekurang-kurangnya 15 sesi selaman termasuk tiga atau lebih selaman di dalam laut pada kedalaman 10 meter," katanya.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, beliau juga perlu menjalani kursus antaranya Tindak Balas Pertama Kecemasan (EFR) Penjagaan Utama dan Sekunder serta latihan kemahiran air seperti berenang sejauh 400 meter dan mengapungkan diri selama 10 minit, selain kemahiran di dalam air seperti cara pernafasan yang betul, ‘duck dive’ dan ‘dolphin kick’.

Menurutnya melakukan aktiviti air dengan gaya ikan duyung amat mencabar kerana seseorang itu berisiko mengalami kejang, memandangkan berenang dengan kostum ikan duyung memerlukan kedua-dua kaki bercantum menjadi satu dalam monofin dan kostum ekor.

"Aktiviti selaman di dalam laut mendedahkan ‘ikan duyung’ dengan cabaran seperti ketumpatan air, tekanan, suhu, jarak penglihatan dan arus bawah air. Risiko lemas juga ada,” katanya.

Bagaimanapun, Nur Fathiyah yang sering berkongsi pelbagai aktiviti air dengan memakai kostum ikan duyung di media sosial yakin dengan latihan kemahiran mencukupi, aktiviti menyelam dan berenang gaya ikan duyung akan menjadi satu aktiviti menyeronokkan.

Bagi membolehkan lebih ramai Muslimah menyertai aktiviti itu, Nur Fathiyah berhasrat membuka perniagaan berkonsepkan ‘Muslimah Mermaid’ yang menawarkan perkhidmatan antaranya solekan asas, fotografi di dasar laut serta jualan produk seperti pakaian renang. - Bernama.