PerantiSiswa diteruskan atau tidak ditentukan selepas Bajet 2023

Iklan
Nie Ching menyampaikan peranti kepada pelajar dalam Majlis Pengagihan PerantiSiswa Zon Selatan di SMK Tunku Abdul Rahman, Kulai, pada Ahad

KULAI - Keputusan sama ada meneruskan program Inisiatif PerantiSiswa akan diteruskan atau tidak kepada pelajar daripada keluarga golongan B40 bagi tahun ini akan diketahui selepas pembentangan Bajet 2023.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching berkata, keputusan itu bergantung selepas Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2023 pada sidang Parlimen akan datang.

Iklan
Iklan

"Lulus atau tidak bergantung kepada pengumuman Menteri Kewangan (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengagihan PerantiSiswa Zon Selatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra di sini pada Ahad.

Iklan

Inisiatif PerantiSiswa merupakan program kerajaan untuk menyediakan peranti kepada mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang berada dalam kelompok keluarga B40.

Sementara itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, sehingga kini KKD menerima sebanyak 63,000 rayuan permohonan daripada mahasiswa dari seluruh negara.

Iklan

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 25,000 rayuan telah diluluskan dan bakinya masih menunggu keputusan semakan pengesahan daripada institusi masing-masing sama ada pelajar terdiri daripada keluarga B40.

"Sehingga Januari tahun ini, sebanyak 474,311 permohonan telah diterima dan 362,016 permohonan diluluskan.

"Lebih 83 peratus atau 301,737 tablet sudah diedarkan di seluruh negara sehingga 15 Januari," katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah agihan itu, sebanyak 23,435 peranti sudah diterima mahasiswa di negeri ini.

Sementara itu, pelajar jurusan Diploma Kosmetologi Kolej Vokasional ERT, Azizah, Intan Maisarah Muhamad Nizam, 19, berkata, dengan adanya peranti dapat membantu dan memudahkan proses pembelajaran terutamanya untuk mendapatkan makluman dalam internet selain menyiapkan tugasan.

"Sebelum ini, kalau nak buat tugasan kena pakai komputer kolej dan perlu 'berebut' dengan pelajar lain, tetapi bila ada tablet ini, kerja lebih mudah, sangat membantu kami," katanya.

Pelajar Tingakatan Enam, Putri Azira Maisara Norsahrizat, 20 dari SMK Tunku Abdul Rahman berkata, sebelum ini dia terpaksa berebut dengan pelajar lain bagi menggunakan komputer sekolah.

Dia berkata, setiap pelajar juga dihadkan sehingga dua jam masa penggunaan komputer bagi memberi peluang kepada pelajar lain untuk menggunakan kemudahan itu.

"Alhamdulillah, sangat seronok dan bersyukur kerana selepas ini pencarian maklumat dan proses membuat nota serta tugasan belajar lebih mudah.

"Saya memang tiada gajet selain telefon pintar yang mana skrinnya lebih kecil dan rumit untuk melaksanakan tugasan diberi.

"Sebelum ini, saya menggunakan kemudahan di bilik komputer sekolah, saya akan membuat tugasan atau mencari maklumat pada waktu rehat atau selepas tamat waktu belajar. Bilik komputer juga dibuka hingga jam 5 petang," katanya.

Bagi pelajar Tingkatan Enam, Chan Yi Jun, 18, penggunaan tablet memudahkannya untuk mendapatkan maklumat.

Kemudahan itu katanya, akan dimanfaatkan sebaiknya untuk pembelajaran dan tugasan selepas ini.

"Sangat gembira kerana tablet ini menyenangkan saya untuk belajar, serta mencari maklumat dengan lebih mudah," kata anak sulung kepada empat beradik itu.