PENDANG - Seramai 33 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang menyertai kursus mencari dan menyelamat di Hutan Lipur Sungai Rambai, Perak, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Pendang, Leftenan (PA) Muhd Fairus Rosdi berkata, kursus itu bertujuan mendedahkan anggota kepada suasana di dalam hutan.
"Sebagai anggota penyelamat kita perlu pastikan diri kita berada dalam keadaan bersedia dan berkemahiran dalam pelbagai perkara.
"Pelbagai prosedur diajar dan dilatih agar mereka benar-benar memahami sekiranya kejadian itu benar berlaku," katanya.
Menurutnya, anggota juga terlibat dengan simulasi operasi kapal terbang terhempas.
"Mereka diberikan latihan untuk menyelamat dan memberikan rawatan kecemasan awal kepada mangsa.
"Diharapkan dengan semua latihan yang diberi anggota APM Pendang sentiasa bersedia dan bersemangat dalam berkhidmat," katanya.