Tidak wajar sekat tanding Presiden, Timbalan - UMNO Johor

Iklan
HASNI

PONTIAN - UMNO Johor berpandangan tidak wajar menghalang mana-mana ahli parti yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO walaupun ketetapan sudah dicapai dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 pada Sabtu.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, perkara itu dilihat mempunyai asas memandangkan cara usul tambahan berhubung jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan ketika PAU 2022 dirasakan melanggar kehendak perlembagaan parti.

Iklan
Iklan

Oleh demikian, Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berpandangan, isu pertandingan jawatan tertinggi parti ini perlu diambil berat dan diteliti sewajarnya.

"Ada juga pendapat menyatakan ia tidak mematuhi garis panduan ditetapkan RoS. Sama ada perkara itu benar atau sebaliknya, itu terpulang kepada pihak pentadbiran UMNO," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Kampung Daerah Pontian di Pejabat Daerah di sini pada Ahad.

Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata, imej parti terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pastinya mempunyai kesan pada pemilihan akan datang.

Iklan

"UMNO Johor berpandangan masyarakat di luar dan pimpinan parti di peringkat cawangan memandang mengenai imej parti selepas PRU15. Kita tidak melihat selain daripada mahu menguatkan kedudukan parti.

"Oleh itu, parti seolah-olah digambarkan tidak menjunjung demokrasi atau kebebasan lebih-lebih lagi apabila ada ahli-ahli yang bertanya berhubung kelulusan usul tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO," katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu menambah, tidak perlu wujud sekatan kepada mana-mana pihak yang mahu bertanding atau menawarkan diri, walaupun terdapat usul tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang.

"Saya percaya apa pun yang terjadi Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bersetuju dan majoriti pemimpin UMNO juga turut bersetuju bahawa tidak ada sekatan untuk mana pihak bertanding atau menawarkan diri walaupun adanya usul tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden.

"Malah saya yakin Presiden dan Timbalan Presiden tiada halangan jika ada ahli yang menawarkan diri untuk bertanding.

"Ini kerana saya percaya perkara itu dibenarkan dalam perlembangaan dan ia adalah hak ahli yang dijamin melalui perlembagaan parti," katanya.

Usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang diluluskan pada PAU 2022.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, usul berkenaan disokong oleh hampir kesemua perwakilan yang terlibat.