Bimbang rakyat hilang kepercayaan terhadap UMNO - Mohd Yussof

Iklan
Mohd Yussof

GEORGETOWN- Tindakan UMNO yang tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam pemilihan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Mei nanti dibimbangi akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap parti tersebut.

Veteran politik, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, perkara tersebut dilihat akan menyebabkan parti orang Melayu itu akan terus lenyap kerana menafikan proses demokrasi yang selama ini menjadi prinsip UMNO.

Iklan
Iklan

Menurutnya, UMNO yang sebelum ini merupakan salah satu parti yang kuat juga dibimbangi akan menjadi parti tumpang kepada parti lain.

"Saya juga bimbang, UMNO hanya akan menjadi parti tumpang yang mana, ia akan menumpang kepada kekuatan parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menang. Ketika ini pun, UMNO bukan berdiri atas kekuatan sendiri," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini, wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin dalam ucapannya sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden mencadangkan usul tambahan, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Usul itu kemudiannya disokong oleh perwakilan Terengganu merangkap Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

Iklan

PAU 2022 pada Sabtu telah meluluskan usul tambahan tersebut dan tidak dicabar pada pemilihan tahun ini.

Dalam pada itu, Mohd Yussof menambah, pemimpin atasan sepatutnya mendengar suara akar umbi yang mahukan kedua-dua jawatan tersebut dipertandingkan.

"Suara perwakilan sebelum ini yang bersetuju sebulat suara bahawa 'No Anwar, No DAP' pun telah di mungkiri Ahli Majlis Tertinggi UMNO, jadi mengapa pula kali ini mereka mahu kekalkan keputusan perwakilan untuk tidak dipertandingkan dua jawatan tertinggi parti.

"Suara peringkat cawangan mahukan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan, jadi keputusan tiada pertandingan untuk jawatan terbabit perlu didengari pemimpin atasan.

"Sepatutnya, Presiden dan Timbalan Presiden membuka gelanggang untuk pertandingan kerana sudah ada pencabar yang mengumumkan mereka bersedia untuk bertanding," jelasnya.

Mohd Yussof turut menyatakan kekesalannya apabila ada desas-desus mengatakan pemimpin atasan mahu menutup pertandingan di peringkat ketua bahagian pula.

"Saya kecewa apabila ada khabar angin yang mengatakan selepas jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, UMNO akan menutup pula pertandingan untuk ketua bahagian. Apa yang saya nampak, ada pihak tertentu yang mahu menjadikan UMNO milik pemimpin dengan mematikan proses demokrasi.

"Perkara ini amat membimbangkan kerana rakyat akan hilang kepercayaan sepenuhnya terhadap UMNO. Tambahan pula, Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlangsung pada tahun ini, UMNO nampaknya susah untuk menang sekiranya semua ini berlaku dalam parti itu," ujarnya.