SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin diminta untuk tidak melontarkan hujah dengan menggunakan emosi dan sentimen media sosial.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim berkata, tindakan bekas Ketua Pemuda Pas itu membidas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di Forum Kepimpinan CTCORP di Indonesia baru-baru ini jelas dikarang dengan penuh emosi dan kebencian terhadap Perdana Menteri itu.
Menurut Kamil, meskipun syarahan umum Anwar mendapat pujian daripada ramai pihak terutamanya dalam kalangan pemimpin Indonesia, Khairil Nizam ternyata gagal mencerapi inti pati yang cuba disampaikan.
"Hakikatnya, tidak ada pihak yang terguris melainkan mereka yang benar-benar terkesan dengan mesej yang disampaikan.
"Khairil Nizam kelihatannya dengan sengaja menggagalkan diri untuk memahami syarahan tersebut.
Pada Jumaat, Khairil Nizam membidas kenyataan Anwar yang menyentuh tentang rakyat hari ini khasnya anak muda kurang membaca dan tidak ada nilai dengan merujuk kepada suara hati anak muda di TikTok sebagai contoh.
Menurutnya, kenyataan tersebut sedikit sebanyak telah mengguris dan merendahkan daya intelektual rakyat Malaysia terutamanya anak muda yang secara majoritinya membuat keputusan menolak kepimpinan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Mengulas lanjut, Kamil berkata, kenyataan Khairil Nizam turut menggambarkan Pas masih belum dapat menerima pembentukan Kerajaan Perpaduan pada hari ini.
"Dalam keadaan semua pihak sedar bahawa tidak ada satu pun parti gabungan yang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, Pas dan Perikatan Nasional (PN) telah dengan sombong dan angkuh menolak saranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk parti-parti membentuk Kerajaan Perpaduan.
"Jelas, kebencian Pas dan PN terhadap sosok perdana menteri telah mengatasi keperluan politik dan ekonomi semasa yang menuntut semua pihak untuk mencari jalan keluar kepada kemelut politik yang melanda negara.
"Sebagai pemimpin muda dalam Pas, Khairil Nizam seharusnya menggunakan ruang yang ada untuk membawa pendekatan politik yang lebih segar dan matang,” jelasnya.