GUA MUSANG - Lebih 500 penduduk di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke di sini, memohon pihak bertanggungjawab untuk menggantikan sebuah jambatan besi berusia 15 tahun di kampung itu yang semakin uzur.
Penghulu, Rian Bujang, 48, berkata, jambatan besi menyeberangi Sungai Belatop itu hanya boleh dilalui dengan motosikal atau berjalan kaki untuk penduduk membuat pelbagai urusan termasuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan Brooke.
Katanya, permohonan untuk membaiki dan menaik taraf jambatan telah dibuat sebelum ini, namun belum mendapat sebarang maklum balas dan tindakan daripada pihak berkenaan.
"Kami tidak kisah jambatan konkrit atau besi seperti ini asalkan lebih selamat untuk digunakan terutama kepada penduduk kampung ini," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Brooke Lama di sini pada Ahad.
Menurut Along Ronggeng, 59, jambatan besi itu dibina sejak 2008 digunakan ratusan penduduk kampung termasuk murid dan pelajar sekolah setiap hari.
Katanya, penduduk umpama bertaruh nyawa apabila menggunakan jambatan itu kerana terpaksa berselisih dengan penunggang motosikal.
"Beberapa bahagian pada pagar dan lantainya rosak dan hampir tercabut. Keadaan pagar besi juga sudah rosak menyebabkan kami terpaksa tawakal terutama pada awal pagi ketika ingin menghantar anak ke sekolah.
"Jika ada kerosakan atau tercabut di mana-mana bahagian kami tidak dapat melihatnya ketika keadaan gelap," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya mengambil perhatian terhadap aduan dan keperluan penduduk di penempatan itu dan akan mendapatkan maklum balas daripada pihak yang terlibat berkenaan status permohonan yang dihantar. - Bernama