KUALA LUMPUR - Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi mewujudkan dasar yang lebih strategik dalam menjaga kebajikan pekebun kecil getah seluruh negara.
Dalam kenyataan pada Ahad, KPK menjelaskan pihaknya memahami situasi yang dialami pekebun kecil khususnya semasa kejatuhan harga getah, justeru akan memastikan program serta aktiviti yang lebih tuntas dilaksanakan agar dapat meringankan beban golongan tersebut.
"Kementerian amat prihatin mengenai isu kejatuhan harga getah dan kesannya kepada pekebun kecil getah dan penoreh di seluruh negara terutama dalam mendepani kehidupan tatkala berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,” demikian menurut kementerian itu.
KPK mengulas bahawa penurunan harga getah berkait rapat dengan pelbagai faktor antaranya prospek ekonomi global yang lembap, peningkatan bekalan getah asli, penurunan harga minyak mentah yang mempengaruhi permintaan getah sintetik berbanding getah asli dalam pembuatan produk getah, kebimbangan mengenai hubungan perdagangan Amerika Syarikat-China dan ketidaktentuan daripada krisis Rusia-Ukraine.
Menurutnya, faktor pasaran serantau dan faktor ekonomi global tersebut memberi pengaruh besar ke atas pergerakan harga getah di pasaran.
Malaysia juga tidak mempunyai kedudukan yang kuat sebagai pengeluar untuk melakukan intervensi meningkatkan harga getah secara unilateral di pasaran antarabangsa memandangkan negara kini hanya mengeluarkan empat peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah dunia, jelas KPK.
"Walau bagaimanapun, dalam usaha membantu penoreh getah dan pekebun kecil getah, pihak kementerian dan LGM telah mengadakan siri perbincangan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan untuk mengurangkan impak kejatuhan harga getah,” tambah kementerian itu.
Kementerian turut melaksanakan beberapa langkah dan usaha bagi membantu pekebun getah dalam menghadapi situasi kejatuhan harga getah dan peningkatan kos sara hidup iaitu Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil ketika harga getah rendah di pasaran di samping menggalakkan mereka terus menoreh.
"Melalui pelaksanaan IPG, pekebun kecil akan menerima harga getah peringkat ladang (50 peratus kandungan getah kering) sekurang-kurangnya pada harga RM2.50 sekilogram.
"Sejak IPG mula dilaksanakan pada September 2015 sehingga Disember 2022, IPG telah diagihkan kepada 202,533 pekebun kecil di seluruh negara dengan perbelanjaan berjumlah RM446 juta,” menurutnya.
KPK menjelaskan, selain itu, MyROL iaitu pemasaran getah melalui kaedah tender secara dalam talian turut dijalankan dan cara ini secara tidak langsung mendorong pencapaian harga tawaran yang lebih kompetitif bagi pekebun kecil.
Kini terdapat 11 pusat jualan getah di sekitar Kelantan, Perak dan Pahang menggunakan MyROL dalam urus niaga mereka dan ini telah memberi manfaat kepada kira-kira 700 pekebun kecil, tambah KPK.
Kementerian juga melaksanakan Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) untuk memberi peluang pekebun kecil menambah pendapatan dengan memberi galakan kepada mereka untuk meningkatkan pengeluaran lateks selain menggalakkan pekebun kecil beralih kepada menghasilkan susu getah berbanding getah sekerap.
"Bagi setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program ini, mereka akan menerima insentif tunai sebanyak RM1 untuk sekilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering (KGK).
"Para peserta juga menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850 bagi setiap hektar secara ‘one-off’,” menurut KPK.
KPK menambah, Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) pula dilaksanakan bagi memastikan koperasi pekebun dan pengusaha ladang getah tempatan dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dengan cara memendekkan rantaian bekalan melalui penglibatan pekebun dalam rantaian industri getah (integrasi menegak).
"Projek ini dijangka dapat menambah nilai getah dan memberi pulangan dan pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kecil,” menurutnya.
KPK melalui LGM juga telah memperkenalkan beberapa mekanisme dan inovasi bagi memastikan agihan bantuan kepada pekebun kecil dapat dilakukan dengan cekap seperti pelaksanaan Permit Autoriti Transaksi-Getah (PAT-G) iaitu pengenalan kepada pekebun kecil getah warganegara Malaysia yang memiliki atau mengusahakan kebun getah.
"Menerusi pengenalan ini, ia bukan sahaja dapat mengekang kes kecurian getah, namun bertindak sebagai pemudah cara kepada setiap pelaksanaan program dan inisiatif yang dijalankan kerajaan melibatkan pekebun kecil getah,” jelas kementerian itu.
Menurut KPK, inovasi LGM iaitu RRIMniaga -- satu aplikasi telefon pintar yang dapat memudahkan urus niaga getah oleh peniaga getah berdaftar dengan LGM dan ia turut merekodkan transaksi urus niaga lebih telus dalam membantu pemantauan di peringkat LGM -- turut digunakan.
"Proses penyaluran bantuan seperti tuntutan IPG dan IPL bagi pemohon yang layak juga adalah lebih mudah kerana dapat dilakukan secara automatik dalam talian,” menurut KPK. - Bernama