GEORGETOWN - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat sebagai 'beban' kepada Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan yang kini disertai parti tersebut bersama beberapa parti komponen lain.
Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy berkata, selain PH dan Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid juga menjadi duri dalam daging bagi UMNO selepas Persidangan Agung UMNO (PAU) 2022 pada Sabtu telah meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti pada Mei nanti.
Menurutnya, dengan dua jawatan tersebut tidak dipertandingkan, ia mungkin akan melegakan Ahmad Zahid namun ia hanya bersifat sementara.
"Apabila usul tersebut dibuat, mungkin kita lihat ia disokong sebulat suara namun masih ada suara-suara yang mahu jawatan tersebut dipertandingkan. Saya lihat, Ahmad Zahid sebagai 'Albatross' (masalah berterusan yang menjadi penghalang) terhadap UMNO, PH dan Kerajaan Perpaduan.
"Adakah PH dan UMNO mampu menarik sokongan Melayu dalam PRN nanti? Kita tidak tahu sama ada UMNO mampu membuka laluan mudah dengan kebergantungan kepada nasionalisme etnik, itu belum tentu lagi," katanya dalam satu kenyataan dalam Facebooknya pada Ahad.
PAU 2022 pada Sabtu telah meluluskan usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden dikekalkan dan tidak dicabar pada pemilihan tahun ini.
Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, usul itu termasuk semua usul yang dicadang dan dibahaskan dalam perhimpunan berkenaan diterima dan disokong oleh hampir semua perwakilan.
Dalam pada itu, kata Ramasamy, adalah sukar bagi UMNO untuk berubah berikutan Ahmad Zahid turut terpalit dengan tuduhan rasuah sebelum ini.
"UMNO yang semua tahu, sebelum ini dicemari dengan isu korupsi dan ia dilihat amat sukar untuk parti tersebut untuk berubah, tambahan pula, Ahmad Zahid selaku presiden merupakan pemimpin UMNO paling terkesan dengan imej tersebut di dalam partinya sendiri.
"Apabila UMNO menyertai PH, maka saya lihat ia turut memberi kesan kepada PH dan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Anwar Ibrahim. Kesan yang paling membimbangkan adalah usaha menarik sokongan khususnya kalangan pengundi Melayu dalam PRN nanti," katanya.
Ramasamy turut berkata, UMNO dilihat lebih memerlukan PH berbanding sebaliknya dalam membentuk kerajaan.
"UMNO telah hilang sokongan orang Melayu, sebab itu mereka memerlukan PH. Mereka juga perlukan PH dan terpaksa bekerjasama dengan PH untuk bentuk kerajaan.
"Mereka tahu, jika mereka bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan, UMNO akan tenggelam kerana kuasa ekstrem dalam PN. Perkara itu disedari dalam kalangan pemimpin UMNO dan Ahmad Zahid sendiri," katanya.
Kata beliau lagi, bukti UMNO hilang keyakinan rakyat apabila tidak memperoleh majoriti kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
"Sekiranya UMNO dikatakan paling dominan dalam BN, mengapa mereka gagal memperoleh majoriti kerusi Parlimen dalam pilihan raya yang lalu?
"Prestasi UMNO amat lemah berbanding pesaingnya iaitu Pas dan Bersatu. Disebabkan itu, UMNO memerlukan PH untuk kekal berada dalam politik negara," katanya.