PRN: Pas Terengganu yakin tambah kerusi, kekalkan kemenangan

Iklan
Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman

SHAH ALAM - Pas Terengganu yakin bukan hanya mampu mengekalkan kemenangan tetapi menambah bilangan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu kelak.

Ahli jawatankuasa badan perhubungannya, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, meskipun berkemungkinan berdepan dengan cabaran satu lawan satu daripada Pakatan Harapan (PH) dan BN yang telah membentuk gabungan, ia tidak menjadi kebimbangan bagi Pas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keyakinan tersebut adalah bersandarkan kepada rekod pentadbiran Pas yang baik selama memerintah negeri itu.

"Daripada 32 kerusi DUN di Terengganu, Pas telah memegang 22 kerusi manakala 10 lagi adalah UMNO, Insya-ALLAH, pada PRN ini, kita akan menambah lebih banyak lagi kerusi untuk dimenangi.

Iklan

"Manifesto yang kita tawarkan kepada rakyat Terengganu sebelum ini telah pun berjaya kita tunaikan 100 peratus kepada mereka.

"Antaranya seperti projek perumahan rakyat, pengembalian tanah rakyat yang dirampas dan juga menyediakan tabung keusahawanan yang sebelum ini berjumlah kurang daripada RM1 juta, kini meningkat kepada RM10 juta,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian semasa program majlis kesyukuran meraikan perantau Besut di Lembah Klang anjuran Pas Parlimen itu di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putra itu berkata, persediaan bagi menghadapi PRN Terengganu telah dibuat dan hanya menunggu pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Setakat ini, kita telah adakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), cuma keputusannya belum dimuktamadkan, apa-apa pun kita dah capai kata sepakat sebanyak 80 peratus,” ujarnya.