Speedy Tigers tidak pandang rendah Chile

Iklan
Skuad negara akan beraksi dengan misi wajib menang menentang Chile pada Isnin. - Foto FIH / World Sports Pic

SKUAD hoki lelaki negara tidak akan memandang rendah keupayaan pasukan di ranking ke-23 dunia, Chile apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Kumpulan C Kejohanan Hoki Piala Dunia di Stadium Birsa Munda, Rourkela di India pada Isnin.

Penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman berkata, Speedy Tigers akan memberikan aksi terbaik untuk meraih tiga mata berharga sekali gus menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya.

Iklan
Iklan

"Pertemuan dengan Chile kita perlukan kemenangan. Tiga mata amat penting untuk meneruskan aksi ke pusingan seterusnya.

"Walaupun mereka tewas 1-3 kepada New Zealand dalam aksi pertama, kita tidak boleh pandang rendah kepada mereka dan kita perlu berikan aksi terbaik esok," katanya.

Iklan

Skuad negara yang berada di ranking ke-11 dunia tewas perlawanan pertama menentang Belanda pada Sabtu perlu mendapat keputusan positif menentang Chile dan New Zealand untuk memastikan tempat ke pusingan seterusnya.

Mengikut format kejohanan, juara kumpulan akan terus mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga akan beraksi menentang pasukan Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) pada pusingan kalah mati untuk slot ke suku akhir.

Iklan

Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddin mengharapkan rakyat Malaysia terus memberikan sokongan kepada pasukan negara yang menjadi azimat berguna untuk mengharungi kejohanan mencabar itu.

"Untuk perlawanan menentang Belanda, memang kita tewas 4-0 tetapi banyak perkara positif yang kita dapat dan segala kelemahan akan kita perbaiki.

"Untuk diri saya sendiri, saya akan berikan yang terbaik untuk perlawanan menentang Chile.

"Rakan-rakan sepasukan juga akan berikan yang terbaik kerana kemenangan esok amat penting untuk kita," katanya.