SEOUL - YouTuber terkenal Korea Selatan, Jay Kim atau nama Islamnya, Jay Daud Kim mendedahkan beliau menunaikan umrah dan gambarnya memakai pakaian ihram tular di media sosial baru-baru ini.
Daud pernah menggemparkan dunia peminat K-Pop selepas berhijrah masuk agama Islam pada tahun 2020 sejurus insiden 9/11 di mana masyarakat dunia menggangap Islam sebagai pengganas.
Malah, isteri Daud, Mia turut melafazkan syahadah selepas itu.
Difahamkan ini bukan kali pertama Daud yang mempunyai 4 juta pengikut di YouTube menjejakkan kaki ke tanah suci itu dan beliau pernah berada di Makkah pada April 2022.
Beliau yang berkongsi foto dan ciapan panjang dalam akaun Instagram dengan menyatakan ketibaannya sekali lagi di kota suci Makkah.
Dalam ciapan seterusnya, Daud turut melontarkan beberapa soalan mengenai tujuannya hidup untuk beribadat kepada ALLAH SWT.
"Mengapa kita dilahirkan?, tujuan kita hidup? dan ke mana hendak kita pergi?,"
"Kehidupan saya kacau bilau. Saya fikir saya adalah insan tidak bernasib baik sehingga tersesat jalan.
"Namun, saya akan sentiasa mencari jawapannya dan lagi pun saya bukan bersendirian dan seseorang di sisi yang cuma membimbing ke jalan benar," tambahnya.
Dalam hantaran terbabit, Daud mengakui bahawa Islam adalah agama yang selama ini dicarinya. Justeru, dia berasa sangat bersyukur terpilih diberi hidayah daripada-Nya.
"Kepercayaan saya tidak pernah berubah dan tiada tuhan selain ALLAH dan Muhammad adalah utusan-Nya.
"Semoga ALLAH mengampuni dosa-dosa ku dan membimbingku ke jalan yang benar," kata Daud dengan akhir kata yang berharap akan bertemu di syurga.