BEREGU lelaki nombor satu dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia nyata berada dalam kelas tersendiri untuk menundukkan Liang Wei Keng-Wang Chang dari China 21-18, 18-21, 21-13, pada aksi final Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena.
Kemenangan berkenaan menyaksikan naib juara Kejohanan Badminton Dunia 2019 dan 2022, berjaya menyekat dominasi China merangkul kesemua gelaran beregu pada kejohanan itu.
Fajar, 27, berkata, kemenangan di pentas Super 1000 buat pertama kali, sangat bermakna buatnya membuktikan mereka layak berada pada ranking teratas dunia, selain meningkatkan keyakinan untuk beraksi di Terbuka India bermula Selasa ini (17 Jan).
"Alhamdulillah bersyukur menang hari ini. Saya rasa pada set ketiga saya cakap pada Muhammad Rian mari lakukan yang terbaik, tidak kira di mana pukulannya kita kejar sahaja. Namun, kami mahu keep humble dengan kemenangan ini.
"Kami juga ucapkan terima kasih kepada semua peminat badminton di Axiata Arena yang sentiasa memberi sokongan kepada kami. Memang sorakan itu menambah semangat ketika kami berdua pamerkan aksi terbaik di dalam gelanggang,” katanya.
Pada edisi lepas, Fajar-Muhammad Rian terpaksa berpuas hati di tempat kedua Terbuka Malaysia, selepas dibenam gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 22-24, 21-16, 9-21.
Terdahulu, beregu wanita pertama dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan menewaskan pasangan Korea Selatan yang berada pada ranking ke-20 dunia, Baek Ha Na-Lee Yu Lim, 21-16, 21-10 dalam perlawanan yang berlangsung selama 52 minit.
Qing Chen, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, bagaimanapun mengakui perhitungan bersama naib juara Terbuka Jepun 2022 itu bukanlah mudah apabila corak permainan pertahanan yang ditonjolkan mereka adalah amat baik.
"Berbanding dengan pemain Korea Selatan yang lebih kepada serangan, mereka (Ha Na-Yu Lim) lebih kepada aksi bertahan yang sangat baik. Lagipun ini sudah kali ketiga kami berjumpa dalam gelanggang jadi sudah agak biasa.
"Kami tidak terlampau memikirkan kepada kemenangan sahaja sebab kami percaya sekiranya seseorang pemain selalu memenangi kejohanan, seseorang itu tidak tahu bagaimana mahu bangkit semula,” katanya menerusi jurubahasa.
China turut merangkul gelaran beregu campuran apabila pasangan nombor satu dunianya, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong meraih gelaran Terbuka Malaysia buat kali keempat berturut-turut selepas menundukkan gandingan dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 21-19, 21-11. - Bernama