PEKAN - Tidak hanya pakar dalam menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa di lokasi bencana, sebaliknya anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi turut mahir bercucuk tanam apabila melaksanakan tanaman fertigasi lada bara sejak September tahun lalu.
Usaha yang dilakukan 33 anggota BBP Nenasi itu membuahkan hasil apabila berjaya menuai lebih 100 kilogram (kg) lada bara sejak sebulan lalu.
Ketua BBP Nenasi, Mohd Noor Hisyam Kadri berkata, sebanyak 1,000 pokok lada bara ditanam di tapak seluas 0.025 hektar di dalam balai terbabit untuk fasa pertama.
"Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Pahang (YP) sebagai menyahut saranan jabatan untuk mewujudkan balai dalam tanam.
"Kalau ikutkan projek sepatutnya bermula pada 2019, namun tergendala disebabkan faktor dalaman sebelum diteruskan semula pada September tahun lalu," katanya ketika ditemui di BBP Nenasi pada Ahad.
Beliau berkata, hasil pertama dituai pada awal Disember tahun lalu dan setakat ini sudah menuai hasil sebanyak tiga kali.
Bercerita lanjut, Mohd Noor Hisyam berkata, projek terhasil daripada perbincangan bekas ketua balai yang terdahulu dengan beberapa penyelia pasukan di sini.
Katanya, mereka bercadang untuk memanfaatkan kawasan pekarangan balai ini yang dahulunya kosong.
"Pemilihan tanaman lada memandangkan tidak perlu banyak penjagaan yang rapi, cuma kena beri perhatian kepada siraman dan baja mengikut jadual yang telah ditetapkan.
"Tambahan pula perlaksanaannya tidak pula boleh mengganggu tugasan anggota yang bertugas di sini, memandangkan hanya melibatkan satu atau dua orang sahaja dan selebihnya menjalani tugasan harian seperti biasa,” katanya.
Tambah beliau, semua keperluan projek fertigasi ini diuruskan oleh pihak perunding YP termasuk memberikan latihan kepada anggota manakala hasilnya juga dijual kepada pihak terbabit.
"Kami telah sepakat bahawa 80 peratus hasil jualan lada bara ini akan diagihkan kepada anggota, manakala bakinya akan disimpan untuk kegunaan balai.
"Daripada jumlah pokok yang ada telah dibahagikan kepada tiga pasukan yang ada di balai ini dan mereka perlu menjaga dan menguruskan bahagian masing-masing," katanya.