PADANG TERAP - Kemerosotan harga getah sekerap sejak beberapa bulan lalu telah membebankan penoreh getah pada hari ini di saat kos sara hidup yang semakin meningkat.
Seorang penoreh, Mohd Nizam Razali, 46, berkata, pendapatan yang diperoleh kurang daripada RM500 sebulan digunakan sebaik mungkin untuk menyara kehidupannya sekeluarga.
"Kita teruk, (harga) barang bila naik bukan naik satu dua sen tapi naik banyak. Kalau menoreh pokok sendiri bolehlah tahan tapi apabila pawah (bahagi) dengan pemilik kebun, (hasil) kena bahagi dua.
Mohd Nizam berkata, peningkatan kos sara hidup tidak seiring dengan pendapatan yang diperoleh dan dia perlu membuat kerja sampingan seperti menebas, meracun serta menanam pokok.
Menurut bapa kepada seorang anak itu, isterinya turut membantu dengan membuat ais krim Malaysia yang dijual di sekolah berhampiran rumah mereka untuk menambah pendapatan keluarga.
Seorang lagi penoreh, Zaidi Abdullah, 48, dari kampung yang sama turut mengakui perlu berjimat-cermat kerana perlu memberikan perhatian kepada lima anak yang masih bersekolah.
"Dengan harga getah sekerap sekarang, memang tidak cukup,” kata Zaidi yang memperoleh pendapatan bawah RM500 sebulan.
Sementara itu, Sarimah Ismail, 58, dari Kampung Pisang mengharapkan kerajaan meletakkan harga lantai getah sekerap sekurang-kurangnya RM3 bagi satu kilogram untuk membantu golongan tersebut.