Isu 'Top 2' UMNO, Puteri Sarah jadi tumpuan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis

PERGOLAKAN rumah tangga antara pengarah, Syamsul Yusof dan pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin disebabkan 'orang ketiga' yang hangat sejak lebih dua minggu lalu dijangka terus menjadi tumpuan hari ini.

Puteri Sarah dijangka memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, setelah berdepan krisis rumah tangganya yang berlanjutan sekian lama.

Iklan
Iklan

Ketika menjadi buah mulut warganet, ia secara tidak langsung membuka mata umum berkaitan peruntukan undang-undang yang sebenarnya wujud bagi menghadapi dilema seumpama itu.

Terdapat beberapa peruntukan undang-undang kesalahan syariah yang berkaitan dengan ‘orang ketiga’ iaitu seksyen 36, 37 dan 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (WP) 1997 [Akta 559].

Iklan

Seksyen 36, 37 dan 38 Akta 559 menggunakan frasa ‘mana-mana orang’ bermaksud sesiapa sahaja yang memujuk lari isteri orang, menghalang suami isteri daripada hidup bersama atau menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajiban boleh didakwa.

Perkara ini dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar.

Iklan

Dr Mohd Naim berkata, pembuktian yang kuat diperlukan bagi menyokong kes pendakwaan terhadap individu yang didakwa sebagai 'orang ketiga'.

"Bukti tersebut melibatkan dokumentasi seperti mesej perbualan, e-mel, surat termasuklah saksi yang mendengar.

"Atas sebab isu pembuktian inilah kita jarang mendengar ‘orang ketiga’ didakwa di mahkamah-mahkamah syariah walaupun ia diperuntukkan dalam undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Rentetan daripada isu panas ini, pasti ramai yang akan menunggu noktah krisis yang berlaku melibatkan tiga figura yang dikenali umum ini.

Puteri Sarah sendiri pastinya mempunyai hak dalam menentukan masa depan perkahwinannya.

Tetapi dalam masa sama, sejauh mana undang-undang 'jenayah orang ketiga' mampu melindungi keharmonian rumah tangga tentunya menjadi persoalan lebih besar.

Dalam perkembangan lain, pasca Perhimpunan Agung UMNO (PAU) juga dijangka terus menjadi tumpuan sepanjang minggu ini susulan keputusan UMNO untuk tidak mempertandingkan jawatan 'Top 2' yang mendapat pelbagai reaksi.

Ia bukan sekadar mendapat perhatian daripada dalam UMNO sendiri, tetapi juga parti lain.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dilapor mempersoalkan impak daripada keputusan itu, khususnya mengekalkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid sebagai Presiden UMNO yang disifatkan sebagai 'beban' dalam Kerajaan Perpaduan.

"Apabila usul tersebut dibuat, mungkin kita lihat ia disokong sebulat suara namun masih ada suara-suara yang mahu jawatan tersebut dipertandingkan.

"Saya lihat, Ahmad Zahid sebagai 'Albatross' (masalah berterusan yang menjadi penghalang) terhadap UMNO, PH dan Kerajaan Perpaduan.

"Dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan, krisis politik mungkin boleh dielak tetapi untuk sementara waktu sahaja. Bagaimanapun, cabaran sebenar adalah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak," katanya pada Ahad.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii menyelar kenyataan tersebut sambil menyifatkan ia sebagai tuduhan tidak berasas.