KOTA BHARU - Sebanyak 50 peratus daripada lebih 300 ahli Persatuan Peduli Ibu Tunggal dan Asnaf Kelantan perlu dibantu kerana tidak bekerja selepas pandemik Covid-19.
Pengerusi persatuan, Khalijah Abdullah berkata, kebanyakan mereka yang berusia 50 tahun ke atas mengalami kesempitan hidup untuk menanggung persekolahan anak-anak.
Menurut Khalijah, peluang pekerjaan yang terhad selepas pandemik itu selain usia semakin meningkat menyukarkan ibu tunggal meneruskan kehidupan terutama jika anak ramai.
"Kami mencari inisiatif dengan mendapatkan dana dan menyampaikan sumbangan sebelum mereka mendapat pekerjaan semula," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau memberitahu, bagaimanapun persatuan itu menggalakkan ahlinya berniaga walaupun secara kecil-kecilan untuk membantu menampung kehidupan anak-anak.
Khalijah berkata, bantuan dan perbelanjaan yang terhad menyebabkan ibu tunggal berkenaan masih berharap kepada bantuan masyarakat.
Tambah beliau, ada ahli yang berdepan kesukaran akibat bencana banjir tahun lalu.
"Alhamdulillah ada badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu serta agensi kerajaan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka," katanya.
Khalijah sebelum itu hadir pada program sumbangan pakaian sekolah kepada 30 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Raisya, Pasir Pekan, Tumpat di sebuah gedung pakaian di Kota Bharu.
Seramai 300 anak yatim menerima sumbangan itu secara berperingkat sebelum sesi persekolahan dibuka pada Mac depan.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban ibu tunggal boleh menghubungi Khalijah di talian 0178772440 atau menyumbang kepada persatuan itu melalui Agro Bank di akaun 1007551000009449.
Ikuti perkembangan semasa mengenai Covid-19 di sini!