Bot nelayan Vietnam ditahan tangkap ikan secara haram

Iklan
Bot nelayan Vietnam yang berjaya ditahan Maritim Malaysia pada pagi Sabtu. - Foto Maritim

KUALA TERENGGANU - Cubaan sebuah bot nelayan Vietnam melarikan diri selepas dikesan menangkap ikan secara haram di perairan negara tidak berhasil apabila berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada Sabtu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, bot tersebut ditahan pada jam 9 pagi sekitar 135 batu nautika di timur laut Kuala Terengganu ketika pengoperasian Op Naga Barat dan Kuda Laut dilaksanakan.

Iklan
Iklan

"Aset Maritim telah mengesan sebuah bot mencurigakan sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan ketika dihampiri mereka bertindak melarikan diri.

"Namun pasukan kita bertindak pantas memintas bot yang menggunakan nombor pendaftaran asing tersebut dan berjaya menahannya.

Iklan

"Pemeriksaan mendapati, tekong bot gagal mengemukakan dokumen lesen yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut mendapati tujuh kru termasuk tekong warga Vietnam berusia lingkungan 21 hingga 54 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan permit pekerja asing yang sah.

Iklan

Susulan penahanan itu beliau berkata, bot bersama peralatan menangkap ikan, 150 kilogram ikan campur dan 100 liter diesel yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1 juta telah dirampas.

"Tujuh kru termasuk tekong yang ditahan telah dihantar ke Maritim Negeri Terengganu untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana tidak memiliki sebarang lesen dan permit kerja untuk melakukan pengoperasian penangkapan hasil laut di perairan negara dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.