[VIDEO] Boleh tegur PM, menteri jika langgar peraturan - Anwar

Iklan
Anwar menyampaikan amanat pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Januari 2023 di Bangunan Perdana Putra hari ini.

 - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata warga perkhidmatan awam wajar membuat teguran terhadap Kerajaan Perpaduan yang didapati melanggar tindakan undang-undang.

Berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Januari 2023 di sini hari ini, Anwar berkata, teguran tersebut turut membabitkan dirinya yang kini memegang portfolio Menteri Kewangan.

Iklan
Iklan

"Saya tekankan ialah penguatkuasaan, apa yang saya pelajari terutama di Kementerian Kewangan, saya lihat banyak fail ada banyak keterlanjuran.

"Nak salahkan pegawai...jika ‘minit’ daripada menteri atau perdana menteri, dia patuh. Tetapi saya telah beri arahan yang jelas kalau ada ‘minit’ daripada perdana menteri sendiri pun kalau ada melanggar undang-undang, sekurang-kurangnyanya saya dimaklumkan terlebih dahulu,” katanya.

Iklan

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sementara itu, Anwar berkata, jawatan Setiausaha Sulit Kanan dan Ketua Setiausaha Sulit di Pejabat Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri perlu diisi oleh mereka daripada kalangan pegawai tadbir diplomatik.

Iklan

"Ini supaya penyelarasan itu baik. Langkah-langkah ini diambil dan saya tekankan ia hanya akan berhasil kalau ada kerjasama penuh daripada rakan-rakan," katanya yang terhutang budi dengan penjawat awam kerana semangat dan sambutan mereka terhadap teguran yang diberikannya diterima dengan baik.

Beliau menegaskan, negara tidak akan maju sekiranya berlaku kebocoran dan ketirisan yang melampau dalam pentadbiran.

"Macam saya sebut kontrak yang kadang-kadang komisen terlalu tinggi, harga tidak berpatutan, bukan saya menuju kepada sesiapa. Hakikatnya, anda tidak boleh berjaya sebagai sebuah negara kalau kebocoran dan ketirisan itu begitu banyak," katanya.

Anwar berkata, program pemukiman Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan yang diadakan di Kompleks Seri Perdana semalam turut dihadiri beberapa ketua jabatan supaya wujud keserasian antara kepimpinan eksekutif negara dan penjawat awam.

Beliau berkata, program pemukiman berkenaan akan diadakan lagi antaranya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Peguam Negara. - Bernama