BERA - Pencarian seorang lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Batu Bor, di sini pada Sabtu berakhir apabila ditemukan pada Isnin.
Mayat mangsa, Faizal Akmal Fikri Mohd Fauzi, 20, dijumpai terapung oleh Unit Anjing Pengesan (K9) pada jam 10.44 pagi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani memberitahu, mangsa ditemui pada jarak 0.9 kilometer dari lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga (Isnin) melibatkan tiga anggota dan dua ekor anjing dari Unit K9, dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang dan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
"Operasi bermula jam 8.30 Isnin dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Sabtu, mangsa dipercayai lemas ketika mandi bersama lima rakannya di lokasi kejadian.