Tiga didakwa buat tuntutan palsu hampir RM150,000

Iklan
Muhammad Hafizi (tiga dari kiri) ketika keluar dari Mahkamah Seksyen, di sini pada Isnin.

MELAKA - Tiga individu didakwa di Mahkamah Seksyen, di sini pada Isnin kerana mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM147,400.

Tertuduh, Muhammad Hafizi Ab Jamal, 33, Nurul Ain Shamsudin, 30, dan Asmida Shahfika Abdul Rahman, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan dua pertuduhan terhadap Muhammad Hafizi yang juga pengurus syarikat Rizky H&I Global, dia didakwa mengemukakan butiran palsu melibatkan senarai nama pekerja tidak wujud bagi menuntut insentif berkenaan berjumlah RM74,600.

Nurul Ain (dua dari kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Isnin.

Manakala Asmida Shahfika yang merupakan pemilik syarikat Roti Warisan Enterprise turut didakwa atas kesalahan sama iaitu dengan mengemukakan butir nama pekerja baharu sedangkan mereka bukan pekerja di syarikat miliknya, melibatkan tuntutan RM36,900.

Iklan

Manakala Nurul Ain yang juga pengurus Syarikat Zaharain Enterprise turut didakwa atas kesalahan sama membabitkan jumlah RM35,900.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perkeso Melaka, di sini antara 19 Mei 2021 hingga 18 Jun 2021.

Iklan

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Ikhwan Zaudi Nordin dan Mohd Yasri Yahya mencadangkan jaminan RM15,000 dikenakan kepada Asmida Shahfika dan Nurul Ain manakala RM40,000 terhadap Muhammad Hafizi dengan mengambil kira nilai tuntutan yang dilakukan mereka.

Asmida Shahfika (dua dari kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, pada Isnin.

Pihak pendakwaan turut memohon ketiga-tiga tertuduh menyerahkan passport kepada mahkamah, selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Elesabet kemudian membenarkan dua tertuduh wanita diikat jamin RM8,000 manakala Muhammad Hafizi dibenarkan dengan jumlah jaminan RM20,000.

Mahkamah turut membenarkan kesemua syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Asmida Shahfika dan Nurul Ain diwakili peguam Hafizah Sani manakala Muhammad Hafizi tidak diwakili peguam.