Bekas ketua eksekutif kolej didenda guna dokumen palsu

Iklan
Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas mengaku salah dan dijatuhkan hukuman atas kesalahan menggunakan dokumen palsu.

KUANTAN - Bekas Ketua Eksekutif Kolej Sentral, Bandar Pusat Jengka didenda RM15,000 di Mahkamah Seksyen Khas Rasuah Kuantan, di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu, sijil dan transkrip Program Asasi Sains kolej itu bagi mendapatkan sejumlah bayaran daripada seorang wanita kira-kira lapan tahun lalu.

Tertuduh, Amran Mustaffa, 59, didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan sebuah bank di Jerantut pada 21 dan 24 Oktober 2015.

Iklan
Iklan

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali pada April tahun lalu atas tuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah ketika itu.

Iklan

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan pada prosiding pada Rabu, tertuduh telah memohon program pengajian baharu, Kursus Asasi Sains peringkat sijil sepenuh masa selama dua semester dengan jumlah kos pengajian RM15,100 pada Mei 2010.

Program itu bagi menggantikan kursus Matrikulasi Universitas Sumatera Utara (MUSU) dikendalikan kolej itu selepas kelulusannya ditarik balik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 2007.

Iklan

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati terdapat pelajar pelajar ditawarkan Program MUSU dan Program Asasi Sains antara tahun 2007 hingga tahun 2016 di Kolej Sentral tanpa perlu menghadiri kuliah dan amali termasuk penama, Muhammad Izhar Ismail.

Proses itu diuruskan oleh ejen termasuk seorang wanita bagi mendapatkan sijil program tersebut sebagai kelayakan melanjutkan pengajian di universiti luar negara.

Tertuduh didakwa meminta bayaran RM5,000 untuk urusan tersebut dan pelajar terlibat tidak perlu menghadiri kuliah dan peperiksaan.

Siasatan lanjut mendapati, tertuduh telah mengarahkan penyelaras program menyedia dan menyerahkan dokumen atas nama penama tersebut sedangkan individu itu bukan pelajar kolej berkenaan.

Peguam tertuduh, Ariff Azami Hussein dalam rayuannya memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda terhadap anak guamnya dan tidak dipenjarakan mengambil kira faktor pengakuan bersalah tertuduh yang menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Menurutnya, tertuduh yang mempunyai isteri dan 11 anak kini menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Pada masa sama, tertuduh memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan selain aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Mengambil kira rayuan dan hujah pihak pembelaan, Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman denda RM7,000 bagi tuduhan pilihan pertama dan RM8,000 bagi tuduhan kedua ke atas tertuduh.

Sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda ditetapkan, dia berdepan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan.