TANJONG KARANG - Jabatan Perhutanan Negeri Selangor diminta memberi penjelasan tentang tindakan sitaan di Pantai Sungai Kajang pada 10 Januari lalu.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata, tindakan sita itu dianggap memeranjatkan penduduk, pengunjung dan peniaga di pantai berkenaan.
"Mereka mempersoalkan kenapa tempat ini perlu disita? Ini bukan tempat kegunaan peribadi, tetapi tempat orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Zulkafperi berkata, keadaan amat menyedihkan terutama bagi peniaga yang bergantung rezeki di pantai tumpuan pengunjung itu terutama pada waktu petang.
"Semua peniaga sepanjang jalan berhampiran terjejas teruk dan banyak gerai terpaksa ditutup.
Ujar beliau, ramai pengunjung terutama anak muda singgah di pantai itu pada hujung minggu, hari cuti am dan cuti persekolahan dari jam 4 petang hingga 7 malam untuk menikmati keindahan petang.
Beliau memberitahu, pada asalnya tempat itu menjadi kawasan lambakan sampah kotor dan berbau busuk
"Penduduk kampung mengambil inisiatif bergotong-royong membersihkannya dan kemudian menjadikan tempat tersebut untuk bersantai pagi dan petang.
"Mereka membina bangsal dan meja serta tempat duduk, selain beberapa kerusi batu disumbangkan pihak tertentu," ujar beliau.
Katanya, peningkatan jumlah pengunjung itu membuka peluang kepada peniaga untuk membuka gerai di sepanjang jalan berkenaan.
"Secara peribadi, saya merasakan Pantai Sungai Kajang ini berkepentingan awam dan berpotensi besar untuk dibangunkan," jelas beliau.
Sementara itu, Sinar Harian masih menanti maklum balas daripada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor berhubung permasalahan itu.