SEREMBAN - Lebih 140,000 suri rumah telah berdaftar sebagai Pencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), setakat ini, kata Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.
Beliau berkata, jumlah itu merangkumi pencarum yang didaftarkan menerusi e-Kasih dan 6,000 permohonan sukarela.
"Dianggarkan tiga juta suri rumah berusia sehingga usia 55 tahun di negara ini layak mencarum dalam skim ini.
"Menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mempromosikan skim ini supaya lebih ramai suri rumah akan mendapat manfaat," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Faedah SKSSR kepada waris Suri Rumah Berinsurans (SRB) di sini pada Isnin.
Sivakumar berkata, waris kepada SRB yang meninggal dunia sebelum usia 55 tahun layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 manakala bayaran berkala Pencen Penakat maksimum RM300 sebulan disediakan mengikut kelayakan syer tanggungan.
"Skim ini mengiktiraf peranan suri rumah dalam melaksanakan kerja pengurusan rumah tangga yang selama ini mungkin tidak dilihat sebagai satu sumbangan kepada pembangunan institusi keluarga dan negara," katanya.Beliau berkata, para suami juga digalakkan mencarum bagi isteri masing-masing demi menghargai jasa dan pengorbanan mereka.
SKSSR dilaksanakan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) bertujuan memberi perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah terhadap bencana domestik, keilatan ataupun kematian sewaktu menguruskan rumah tangga.
Kerajaan memperuntukkan RM20 juta menaja caruman SKSSR kepada 150,000 suri rumah yang berdaftar dengan e-Kasih, menerusi i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Media sebelum ini melaporkan KSM menyasarkan 500,000 suri rumah berdaftar sebagai pencarum di bawah SKSSR tahun ini. - Bernama.