Karya Mohd Hasnan dihadiah kepada Ismail Sabri

Iklan
Mohd Hasnan (kanan) menunjukkan potret Takiyuddin kepada kakitangan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Tuan Hissam Tuan Mamat di KALA Sentral.

KOTA BHARU - Teknologi moden yang dimanfaatkan dalam pelbagai bidang kini turut dinikmati penggiat seni lukis tanah air untuk menghasilkan karya berkualiti.

Justeru, tidak hairanlah jika hasil lukisan Mohd Hasnan Hashim, 57, yang menggabungkan teknik digital dan konvensional lebih cantik dan menarik.

Iklan
Iklan

Berkongsi mengenai karyanya, Mohd Hasnan berkata, gabungan itu juga tidak mengambil masa lama untuk disiapkan berbanding menggunakan tangan sepenuhnya.

Menurutnya, gabungan yang dikenali sebagai media campuran pada mulanya dihasilkan menggunakan komputer sebelum dicetak di atas kanvas.

Iklan

"Saya akan melakukan sentuhan akhir melalui kaedah kontemporari dengan menggunakan warna-warna pilihan.

"Pemilihan warna sangat penting bagi menonjolkan keindahan lukisan sekali gus hampir sama dengan teknik konvensional," katanya ketika ditemui di KALA Sentral di Dataran Muhammadi, Kota Bharu.

Mohd Hasnan (kiri) menunjukkan potret sembilan Perdana Menteri Malaysia kepada Tuan Hissam.

Iklan

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Kesenian dari Institut Kesenian Jakarta itu juga boleh berbangga apabila lukisan yang dihasilkan pernah menjadi pilihan agensi kerajaan dan swasta untuk dihadiahkan kepada pemimpin utama negara sebagai cenderahati.

Bapa kepada enam anak berusia antara 14 hingga 32 tahun itu mengakui lebih meminati lukisan potret untuk diabadikan dan antara karya beliau ialah bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Bercerita lanjut, Mohd Hasnan memberitahu, banyak tempahan diterima daripada syarikat korporat dan individu untuk kenangan atau hadiah.

Beliau sudah menghasilkan lebih 200 lukisan dan harga bagi sebuah lukisan bergantung kepada nilai seni dan gambarnya bermula RM750 hingga RM25,000.

"Tempoh masa yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah lukisan bergantung kepada tahap kesukarannya dan paling lama ialah dua bulan," katanya.

Mohd Hasnan yang mempunyai impian mengadakan pameran lukisan kini sedang berusaha mengumpulkan karya terbaik beliau.