KUALA LUMPUR - Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.
Petisyen melibatkan tiga kawasan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lepas mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.
Ahmad berkata,UMNO Terengganu berharap pilihan raya dapat diadakan semula di ketiga-tiga kawasan itu, seperti yang pernah berlaku semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 2018.
"Perkara ini pernah berlaku semasa PRK Cameron Highlands dahulu dan mahkamah membatalkan keputusan. Kami berharap berdasarkan bukti yang kita ada, pilihan raya dapat diadakan semula,” katanya.
Sementara itu, peguam Amin Othman yang mewakili calon BN di ketiga-tiga kawasan tersebut bagi pihak UMNO Terengganu berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk memfailkan petisyen, setelah meneliti bahan bukti dan keterangan saksi.
"Kami mempunyai saksi yang mencukupi untuk petisyen ini, hampir 20 orang berusia antara 18-20 tahun di tiga kawasan ini,” katanya.
Pada PRU15, Ahmad yang mewakili Barisan Nasional (BN) serta tiga calon lain yang bertanding di kerusi Parlimen Kemaman, tewas kepada calon Pas Che Alias Hamid yang menang majoriti 27,179 undi.
Bagi Parlimen Marang, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang terus mengekalkan kemenangannya dengan majoriti 41,729 undi dalam pertandingan empat penjuru, manakala Parlimen Kuala Terengganu kekal disandang Datuk Amzad Hashim (Pas) yang memperoleh majoriti 40,907 undi menewaskan tiga calon lain. - Bernama.