Pindaan beberapa akta terlibat proses transformasi Parlimen

Iklan

SHAH ALAM - Parlimen dalam proses melakukan transformasi menerusi perlaksanaan beberapa pindaan terhadap akta antaranya melibatkan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Perkara itu dinyatakan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim menerusi pertemuan dengan dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, iaitu Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng yang melakukan kunjungan hormat di Parlimen pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara, pada masa sama, Rais memaklumkan bahawa Parlimen turut berhasrat mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.

"Penggubalan Kod Etika Ahli Parlimen juga dilihat mampu melancarkan perjalanan sidang dewan.

Iklan

"Berasaskan kepada semangat pembaharuan ini, penglibatan kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat amat diperlukan dalam merealisasikan hasrat tersebut," menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu menambah, pada pertemuan pertama itu, Rais bertukar-tukar pandangan dan menjelaskan hal-hal yang berkaitan dengan fungsi dan peranan utama Parlimen sebagai sebuah institusi legislatif negara.

Iklan

Katanya, beberapa cadangan yang memerlukan kerjasama ahli-ahli dari kedua-dua buah Dewan juga diutarakan.

"Kerjasama ini antara lain, boleh diusahakan melalui pembentukan jawatankuasa bersama seperti Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat dan Jawatankuasa Antirasuah dalam membantu dan menangani isu-isu berkaitan rakyat.

"Pembentukan kerjasama seumpama ini diharapkan dapat menjadikan Parlimen sebagai sebuah institusi sandaran dan harapan untuk rakyat menyuarakan permasalahan yang dihadapi yang memerlukan perhatian pemimpin negara," katanya.

Ramli dan Alice dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat semasa persidangan pertama Parlimen pada 19 Disember lalu melalui undi bersurat dalam kalangan ahli Parlimen.