TUMPAT - Seorang warga emas maut selepas dipercayai terjatuh dari pokok kelapa setinggi kira-kira 20 meter di Kampung Jal Kechik, di sini pada Isnin.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, Abdul Mutalib Hussin, 69, dijumpai terbaring di tepi pokok itu oleh seorang pemilik kebun.
Iklan
Iklan
Ahli keluarga mangsa, Sabri Ya, 56, berkata, mangsa mengambil upah memanjat dan mengutip buah tersebut pada hari berkenaan.
"Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa terbaring dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba selepas dihubungi penduduk,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Isnin.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat oleh pihak polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan.
"Mayat selesai dibedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Jal Kechik, Tumpat pada petang ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.