SYARIKAT pemborong dan peruncit, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) melancarkan kempen e-dompet ‘ONGnya Mydin’ sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya bekerjasama dengan lima syarikat e-dompet iaitu Maybank E-Wallet, Atome, Zapp, Mcash dan Boost bagi menggalakkan pelanggan membuat pembayaran tanpa tunai sekali gus menggunakan aplikasi berkenaan.
Katanya, kempen tersebut telah bermula pada 1 Januari lalu dan akan berlangsung sehingga 5 Februari ini di semua cawangan Mydin seluruh negara.
"Inisiatif menggerakkan penggunaan cara pembayaran tanpa tunai ini sesuai dengan saranan kerajaan supaya perniagaan beralih ke arah digitalisasi dengan menawarkan pelbagai kaedah pembayaran agar lebih cepat dan efisien.
"Pelbagai tawaran istimewa diberi kepada pelanggan sempena kempen ini dan saya jangkakan dapat menarik masyarakat untuk beralih ke pembayaran secara e-dompet yang lebih selesa, selamat dan mudah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen E-Dompet ONGnya Mydin pada Isnin.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.
Dalam pada itu Ameer memaklumkan, Mydin turut menawarkan ganjaran keseluruhan bernilai RM28,000 menerusi peraduan ‘Meriah, Belanja, Menang & Huat’ kepada 88 pelanggan bertuah yang berbelanja sebanyak RM188 dalam satu resit dan berpeluang memenangi baucar tunai bernilai RM80.
"Selain itu, 15 pelanggan yang berbelanja terbanyak menggunakan e-dompet juga berpeluang menyertai ‘hypermarket sweep’ yang menawarkan hadiah sebanyak RM1,000 setiap seorang.
"Mydin juga telah merangka pelbagai promosi barangan dengan diskaun istimewa kepada pelanggan bagi memberikan penjimatan hebat sempena sambutan Tahun Baru Cina agar lebih meriah,” jelasnya.
Mengenai pembayaran tanpa tunai, Ameer memaklumkan, Mydin telah merekodkan 300,000 transaksi berjumlah lebih RM30 juta bagi tempoh tiga tahun kebelakangan ini menggunakan rakan strategik e-dompet berkenaan.
"Oleh itu kami merangka pelbagai promosi dan tawaran hebat kepada pelanggan bagi meningkatkan jumlah transaksi dengan jangkaan kenaikan sebanyak 20 peratus bagi tahun 2023.
"Mydin juga menggalakkan penggunaan platform e-dompet ketika berbelanja kerana ia lebih mudah, selamat dan menawarkan pelbagai rebat serta ganjaran kepada pelanggan kami,” ujarnya.
Sementara itu Nie Ching dalam ucapannya memberitahu, Kempen E-Dompet ONGnya Mydin bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk mempertingkatkan literasi pembayaran digital seperti digariskan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Negara (MyDigital).
"Bagi mempertingkatkan tahap kesedaran dan merancakkan penerimagunaan pembayaran digital ini, Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Payments Network (PayNet) telah melancarkan projek rintis Cashless@ PEDI di 28 pusat ekonomi digital seluruh negara.
"Menerusi program ini, SKMM dan PayNet akan mengadakan pameran dan aktiviti bagi memberi maklumat mengenai kelebihan pembayaran secara digital,” katanya.