Johor sasar lapan juta pelancong tahun ini

Iklan
Raven Kumar (tengah) pada majlis Majlis Aspresiasi Pelancongan Negeri Johor 2023 pada Isnin.

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor menyasarkan seramai lapan juta pelancong dari dalam dan luar negara bakal berkunjung ke negeri itu sepanjang tahun 2023.

Menurut Exco Pelancongan, Alam Sekitar Johor, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K Raven Kumar yakin sasaran itu berjaya dicapai berikutan pembukaan semula industri pelancongan di seluruh dunia ketika ini.

Iklan
Iklan

"Kita yakin pada 2023 akan dapat kunjungan daripada lapan juta pelancong walaupun pada awalnya kita sasarkan lima juta.

"Jika sasaran itu tidak berjaya dicapai, sekurang-kurangnya kita dah berjaya capai sasaran awal lima juta.

Iklan

"Lagi pun ketika ini, banyak negara seperti China, India, negara Arab termasuk negara-negara di Asia Tenggara sudah mula ‘menggerakkan’ semula industri pelancongan masing-masing," katanya.

Terdahulu, Raven Kumar turut menyempurnakan perasmian Majlis Aspresiasi Pelancongan Negeri Johor 2023 serta melancarkan Kalendar Pelancongan dan Pelan Strategik Pelancongan Johor 2022 – 2027 di Hotel Fraser Place, Puteri Harbour di sini pada Isnin.

Iklan

Hadir sama, Ketua Perunding, Pelan Perancangan Strategik Pelancongan Johor 2023-2027, Prof Madya Sr Ts Dr Noorsidi Aizuddin Mat Noor.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi tumpuan terhadap produk pelancongan yang 'unik' untuk menarik kehadiran pelancong.

"Misalnya di Johor kita ada Legoland, taman tema di Desaru selain alam semulajadi di Tanjung Piai, Gunung Ledang.

"Kita juga bakal membuka Muzium Diraja Johor pada suku kedua tahun ini dan sedang menunggu perkenan daripada Sultan Johor bagi berbuat demikian,” katanya.

Tambah Raven Kumar, sasaran lapan juta pelancong itu mampu direalisasikan berikutan adanya pelbagai kemudahan untuk memasuki negara ini.

"Kita ada banyak pintu masuk dan pelbagai kemudahan lain seperti feri, kapal terbang. Ini dilihat mampu menarik kunjungan pelancong terutamanya dari sekitar Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, Raven Kumar berkata, walaupun dalam usaha merancakkan kembali industri pelancongan, pihaknya turut menitikberatkan aspek-aspek keselamatan, terutamanya melibatkan kawasan-kawasan pelancongan di tanah tinggi.

"Sudah tentu kita akan berikan perhatian serius berhubung perkara ini.

"Kita bukan sekadar buka dan biarkan pusat-pusat pelancongan ini beroperasi,” katanya.