KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada Isnin melancarkan kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai hampir RM500,000 kepada 138 orang pemenang.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar berkata, cabutan kali ini terdiri daripada Cabutan Tahunan yang bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember 2023 dan lima Cabutan Siri.
"Lima Cabutan Siri ialah WOW! Gong Xi Ang Pow bermula pada 1 Januari hingga 28 Feb, WOW! Syoknya Raya bermula 1 Mac hingga 31 Mei serta WOW! Merdeka yang berlangsung pada 1 Jun hingga 31 Ogos.
"Cabutan Siri ini diteruskan dengan WOW! Superheroes pada 1 September hingga 31 Oktober dan WOW! Y.E.S 2023 yang akan berlangsung pada 1 Nov sehingga 31 Disember,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023, di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, bagi pendeposit yang ingin menyertai kempen ini, mereka hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan di Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dalam tempoh kempen.
"Setiap RM100 bagi Simpan SSPN Prime yang disimpan dalam tempoh kempen akan layak satu cabutan manakala RM50 bagi Simpan SSPN Plus pula akan layak dua cabutan secara automatik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan kepada pelanggan PTPTN untuk memuat turun aplikasi myPTPTN di Google Playstore, Apple Appstore dan Huawei AppGallery bagi memudahkan transaksi dan berpeluang menerima cabutan berganda dalam tempoh kempen berlangsung.
"Pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan RM100 melalui myPTPTN, akan mendapat sebanyak lima cabutan, manakala pendeposit Simpan SSPN Plus yang membuat simpanan RM50 melalui myPTPTN akan mendapat 10 cabutan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata PTPTN sentiasa komited untuk menggalakkan amalan penabungan selaras dengan Teras Pertama dalam Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 untuk menjadikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pendidikan utama di Malaysia.
"Simpan SSPN terus berada di landasan yang kukuh sebagai produk simpanan yang berdaya saing dan setanding dengan produk simpanan lain di pasaran dengan pelbagai keistimewaan dan manfaat yang disediakan,” katanya.
Sementara itu, Abdul Razak berkata pada 31 Disember tahun lalu, PTPTN telah merekodkan RM14.24 bilion jumlah deposit Simpan SSPN dengan bilangan akaun berjumlah 5.73 juta.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada lima rakan strategik bagi kerjasama tahun 2022 sebagai simbolik kepada kejayaan kolaborasi dalam memperkasa dan memupuk budaya penabungan melalui Simpan SSPN.
Antara penerima sijil berkenaan ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Veteran ATM (YVATM), Kao Laurier Malaysia dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).
"PTPTN sentiasa menggalakkan penglibatan rakan strategik dalam memperkasakan penabungan melalui Simpan SSPN. Kolaborasi dari semua agensi kerajaan mahupun korporat yang berminat amat dialu-alukan sebagai penyumbang kepada akaun Simpan SSPN,” katanya. - Bernama.