200 pekerja asing mogok, polis tahan dua lelaki

Iklan
Tangkap layar klip video yang dimuat naik oleh @yubrajkarki3 di aplikasi TikTok pada 2 Januari lalu. - Foto Ihsan PDRM

BENTONG - Polis Bentong menahan dua lelaki dipercayai 'ketua' kumpulan hampir 200 pekerja asing yang mogok di Amber Court, Genting Highlands di sini pada 2 Januari lalu.

Sebelum ini, kejadian itu tular susulan sebuah klip video di aplikasi TikTok milik '@yubrajkarki3' pada 2 Januari lalu namun hantaran tersebut telah dipadam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar memberitahu, kedua-dua lelaki yang ditahan itu berusia 20 dan 22 tahun.

Menurutnya, pihak polis pada hari kejadian menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira jam 8 pagi yang memaklumkan perhimpuan tersebut.

Iklan

"Pihak polis mendapati berlaku perselisihan faham antara pihak syarikat dan pekerja yang melakukan mogok.

"Kita telah berjumpa dengan penyelia syarikat untuk mengetahui punca sebenar dan dimaklumkan ia akibat ketidakpuasan hati pekerja berkenaan gaji dan jadual kerja," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Ujar beliau, pihak polis telah memberi amaran kepada 'ketua' tersebut supaya bersurai dan tidak melakukan kacau ganggu di tempat awam namun amaran awal tidak diendahkan oleh semua warga asing terlibat.

"Pihak polis terpaksa menahan kedua-dua lelaki berkenaan dan dibawa ke Balai Polis Genting Highlands namun mereka cuba bertindak agresif dan tidak memberi kerjasama," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, keadaan berjaya dikawal setelah menasihatkan pihak pengurusan, kumpulan pekerja terlibat untuk berbincang serta tidak menimbulkan sebarang kekecohan dan mengganggu ketenteraman awam.

"Kita juga memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan perkara ini telah diselesaikan oleh pihak pengurusan serta pekerjanya dengan cara baik atas nasihat pihak polis selain pemantauan di lokasi berkenaan secara berkala," kata Zaiham.