KERAJAAN baru-baru ini memutuskan majikan kini boleh menggaji tenaga kerja asing dari 15 negara sumber tanpa perlu melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.
Menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing itu juga, permohonan majikan terbabit boleh diluluskan dalam tempoh tiga hari sahaja.
Negara sumber tersebut adalah Indonesia, Nepal, India, Filipina, Bangladesh, Thailand, Myanmar, Kemboja, Laos, Vietnam, Pakistan, Sri Lanka, Turkmenistan, Uzbekistan dan Kazakhstan.
Mereka dikatakan diperlukan di tujuh sektor kritikal antaranya perkhidmatan, perkilangan, pembinaan, perladangan dan pertanian.
Dengan perkembangan itu, sekurang-kurangnya 500,000 pekerja asing dijangka dibawa masuk ke Malaysia tahun ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan ia akan menjejaskan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
Bagaimanapun menurut Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, kebanyakan mereka akan ditempatkan di sektor yang tidak diminati warga tempatan seperti perladangan, pertanian dan pembinaan.
Dari satu segi, kehadiran begitu ramai pekerja asing dapat menyokong proses pemulihan negara pascapandemik Covid-19 dengan lebih cepat. Namun begitu ia sepatutnya hanya satu penyelesaian segera dan sementara.
Isu pekerja asing yang berlarutan sejak sekian lama membuktikan kerajaan masih gagal menarik minat pekerja tempatan atau sememangnya majikan terlalu mahukan pekerja asing yang mudah dieksploitasi.
Ramai yang masih ingat bagaimana 40 pekerja asing di sebuah kilang kejuruteraan logam di Ipoh, Perak disuruh tidur di dalam empat buah kontena sedangkan setiap kontena sepatutnya hanya memuatkan enam pekerja.
Malah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebelum ini melahirkan rasa curiga kerana ada pekerja asing dipercayai diambil sebagai pekerja am, tetapi diarahkan menjadi pemandu kenderaan, penyelia dan kerani sedangkan pekerjaan itu sepatutnya diisi oleh pekerja tempatan.
Justeru, kerajaan seharusnya membenarkan pengambil pekerja asing setakat yang diperlukan sahaja. Jika pengambilan itu tidak dikawal, ia hanya akan menimbulkan kerisauan terhadap keselamatan, kesihatan dan ekonomi masyarakat tempatan.
Kebimbangan rakyat jangan diketepikan begitu saja. Paling utama, buatlah rancangan sistematik dan besar-besaran untuk menarik minat anak muda tempatan bekerja di sektor kritikal berkenaan.