PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan dia bukan seorang yang degil dan tidak mendengar saranan penyokong apabila tidak membeli ramai pemain ketika jendela perpindahan Januari.
Sebaliknya, dia masih yakin dengan kemampuan para pemainnya untuk membawa cabaran The Reds sehingga penghujung liga.
Liverpool tewas 0-3 kepada Brighton dan Hove Albion pada Sabtu dengan Klopp menyifatkan persembahan paling buruk pernah disaksikannya sepanjang karier kejurulatihannya.
The Reds kini berada di kedudukan kesembilan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan ketinggalan 10 mata dibelakang pasukan di kedudukan keempat, Manchester United.
"Saya tidak boleh mengubah jawapan saya. Jika penyelesaian untuk kami ada di luar sana, sudah tentu saya akan membawa pemain untuk membantu pasukan," katanya.
Klopp sebelum ini telah menyatakan tidak akan membeli pemain lain selepas membawa masuk pemain sayap, Cody Gakpo pada jendela perpindahan kali ini.
Dalam pada itu, Klopp mengakui dia mempunyai pilihan yang sedikit dalam beberapa posisi pasukan.
"Tetapi, kami juga mempunyai skuad sedia ada dan jika prestasi mereka merosot, saya perlu lakukan sesuatu dan tidak menyalahkan orang lain.
"Ya, kami mempunyai pilihan terhad, tetapi kami mempunyai pemain yang masih mempunyai kontrak di sini.
"Benar kami perlu memperkuatkan pasukan, tetapi adakah ini masa yang sesuai untuk kami (menandatangani pemain)? Saya rasa tidak," katanya.