Kanak-kanak mangsa dera ditemui tepi jalan masih trauma

Iklan
Gambar tular kanak-kanak lelaki yang ditemui dengan kesan kecederaan di badan, tangan, jari dan dahi di tepi jalan di Cheras Utama pada Jumaat.

KAJANG - Kanak-kanak lelaki yang ditemui dengan kesan penderaan di seluruh badan di tepi jalan di Cheras Utama, di sini Jumaat lalu masih dalam keadaan trauma dan enggan bercakap.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa yang dianggarkan berusia sekitar tiga hingga empat tahun berkenaan sukar untuk berkomunikasi walaupun seorang jurubahasa dipanggil untuk bercakap dengannya.

Iklan
Iklan

"Namun, dia masih tidak mahu bercakap dan hanya dilihat tersenyum. Mungkin dia masih dalam keadaan trauma,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat ke-19 sempena Tahun Baru Cina 2023 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), pada Selasa.

Mohd Zaid (kiri) semasa menyampaikan cendera hati kepada pengguna jalan raya sempena Op Selamat ke-19

Pada Isnin Sinar Harian melaporkan, pihak polis masih menunggu laporan perubatan kanak-kanak lelaki yang ditemui dengan kesan kecederaan di badan, tangan, jari dan dahi di tepi jalan di Cheras Utama pada Jumaat.

Iklan

Kanak-kanak lelaki berkenaan dilaporkan dalam keadaan baik di Hospital Kajang dan diserahkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sehubungan itu, Mohd Zaid meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung ahli keluarga atau waris mangsa supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Iklan

"Kanak-kanak itu sudah diserahkan kepada JKM untuk tindakan lanjut, namun masih ditempatkan di hospital untuk pemantauan.

"Kita ada bawa gambar kanak-kanak itu di sekitar lokasi dia ditemui termasuk di kawasan perumahan berhampiran, namun tiada individu yang mengenalinya. Kita juga membuat hebahan di grup WhatsApp penduduk dan kawasan sekitar," ujar beliau.