Ejen insurans ditahan jual serbuk dadah

Iklan
Mohd Shuhaily (tiga dari kanan) bersama dadah serbuk MDMA yang dirampas.

GEORGETOWN - Seorang ejen insurans bersama dua rakannya ditahan selepas didapati menjual serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan ketamin bernilai RM129,220, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek berusia 22 hingga 32 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di sekitar bandar ini antara jam 7 petang hingga 10 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, serbuan pertama dibuat di sebuah pangsapuri di Jelutong dan menahan seorang suspek manakala dua suspek ditahan dalam serbuan kedua di sebuah kondominium di Lebuh Gat, di sini.

"Sindiket ini dipercayai membungkus kesemua dadah ini yang didatangkan dalam pelbagai perisa antaranya lemon dan oren untuk dicampur di dalam minuman.

Iklan
Mohd Shuhaily menunjukkan kereta jenis Ford Mustang yang dirampas daripada salah seorang suspek.

"Bagaimanapun, kita masih menyiasat dari mana sindiket ini memperoleh bekalan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini pada Selasa.

Kata beliau, sasaran pelanggan sindiket tersebut adalah dalam kalangan pengunjung kelab malam di sekitar negeri ini.

Iklan

"Sindiket berkenaan bergiat aktif sejak awal tahun lalu dan kesemua dadah tersebut adalah untuk pasaran tempatan. Sekiranya ia terlepas ke pasaran, ia mampu untuk dibekalkan kepada 800 penagih.

"Ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek yang merupakan warga tempatan itu negatif dadah. Sementara semakan rekod jenayah mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, selain dadah, polis turut menyita empat kenderaan, dua utas rantai leher, seutas rantai tangan, dua bentuk cincin, wang tunai RM3,559 serta loket bernilai keseluruhan RM441,588.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM570,808. Kesemua tangkapan direman tujuh hari sehingga 20 Januari ini.

"Jika dilihat antara barang sitaan iaitu sebuah kereta jenis Ford Mustang dan BMW, ia menunjukkan sindiket ini mampu hidup mewah dengan kegiatan mereka ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.