KUALA PILAH - [DIKEMAS KINI] Anak seorang artis wanita popular era 1990-an dihukum penjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan, Oktober tahun lalu.
Majistret, Saiful Sayoti turut memerintahkan tertuduh, Syarra Sudarman, 29, menjalani tempoh pengawasan selama tiga tahun.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati memiliki dua peket plastik lut sinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 1.72 gram di sebuah hotel di Pekan Kuala Pilah lebih kurang jam 11.45 pagi, 12 Oktober 2022.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.
Dia turut dituduh mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah kira-kira jam 3 petang pada tarikh yang sama.
Atas kesalahan itu dia boleh dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama dengan Seksyen 38B akta yang sama.
Sementara itu, tertuduh dalam rayuannya menyatakan sebelum ditangkap dia mempunyai pekerjaan tetap di Kuala Lumpur dan menyara anaknya sepenuhnya.
Katanya, sepanjang berada di Penjara Sungai Udang, Melaka dia telah menerima panggilan daripada ibunya sebanyak dua kali memaklumkan ibunya tidak sihat.
Dia turut memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap kerana mahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu di Kuala Lumpur.
Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan bermula dari tarikh dia ditangkap bagi kesalahan memiliki dadah, manakala kesalahan memasukkan dadah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lima bulan bermula dari tarikh sabitan.