TEMERLOH - Jabatan Kastam Diraja Pahang (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup rokok putih di Kilometer (KM) 19.7 di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di Hentian Rehat dan Rawat (R&R)Temerloh di sini pada 5 Januari lalu membabitkan rampasan termasuk sebuah lori bernilai keseluruhan RM2,169,280.
Pengarah Kastam negeri, Wan Apandi Wan Hassan memberitahu, seorang pemandu lori berusia 50-an berjaya ditahan selepas sepasukan anggota penguat kuasa Pahang membuat rondaan berkala kira-kira jam 8.30 pagi di lokasi tersebut.
Menurutnya, lori tersebut telah ditahan di tempat letak kenderaan dan dipercayai dalam perjalanan daripada sebuah negeri di Pantai Timur menuju ke ibu kota.
"Lelaki tersebut sedang berehat dan dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan rapi menemukan muatan berisi rokok yang disyaki barang larangan import dengan anggaran sebanyak 2,860,000 batang rokok yang melibatkan nilai anggaran sebanyak RM258,800 dan jumlah duti serta cukai dianggarkan sebanyak RM1,910,480.
"Barang rampasan telah dibawa ke stor Cawangan Penguatkuasaan Temerloh untuk siasatan lanjut. Seorang lelaki warga tempatan yang berada di lokasi turut ditahan untuk membantu siasatan dan telah diikat jamin," katanya pada sidang akhbar di pejabat JKDM Temerloh di sini pada Selasa.
Ujar beliau, modus operandi sindiket itu dengan menyembunyikan rokok tidak berkastam di dalam lori 'bonded' yang mempunyai nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Kes ini disyaki dilakukan oleh satu sindiket penyeludupan rokok melalui pintu masuk pelabuhan negara dan ia adalah rampasan terbesar di Pahang pada 2023 setakat ini," katanya.
Wan Apandi juga memberitahu, kes tersebut sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu dengan disedari, berurusan dengan barang-barang tidak berkastam di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.
"Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman iaitu denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000.00 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Rokok-rokok ini diklasifikasi sebagai barang yang dilarang pengimportannya di bawah Butiran Satu (1), Bahagian Dua (2), Jadual Ketiga (3), Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017," tambah beliau.
Sementara itu, beliau menggesa orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
Ujar beliau, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
"Kita juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1 -800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
"Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," jelas Wan Apandi.