Agihan wang bantuan persekolahan SK Kampung Rinching ditangguh

Iklan
Makluman penangguhan bayaran wang Bantuan Awal Persekolahan menerusi akaun Facebook rasmi SK Kampung Rinching.

SHAH ALAM - Penyerahan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Rinching, Beranang, Semenyih, terpaksa ditangguhkan berikutan kejadian samun yang berlaku pada Isnin.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi akaun Facebook rasmi sekolah berkenaan pada Selasa selepas wang lebih RM100,000 yang dikeluarkan oleh guru besar sekolah terbabit disamun di hadapan sebuah bank.

Iklan
Iklan

"Untuk makluman ibu bapa dan penjaga, penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang dijadualkan pada Selasa, 17 Januari ditangguhkan pada tarikh yang akan ditetapkan nanti. Harap maklum. Maaf atas kesulitan,” menurut kenyataan tersebut.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, wang BAP yang diperuntukkan kepada sekolah berkenaan disyaki disamun penjenayah sejurus dikeluarkan daripada sebuah bank oleh guru besar di Pekan Semenyih pada jam 10 pagi.

Iklan

Difahamkan wang berkenaan diletakkan di bawah kerusi penumpang hadapan kenderaan sebelum guru besar tersebut ke kedai makanan bersebelahan bank untuk membeli minuman.

Sementara itu meninjau di laman Twitter, rata-rata warganet mempertikaikan tindakan guru besar tersebut yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika mengeluarkan wang berkenaan.

Iklan

Pemilik akaun @n_aiein berkata, SOP untuk mengambil kertas soalan peperiksaan lebih ketat kerana memerlukan guru pengiring ke bilik simpanan.

"Ambil kertas soalan di bilik kebal pun tidak dibenarkan singgah mana-mana dan terus ke sekolah, wajib ada guru pengiring dan ikut belakang sampai ke sekolah pusat.

"Inikan pula bawa RM100,000 tanpa pengiring dan singgah beli air. Kalau guru biasa entah apa nasib," ciapnya.

@reenmedeena pula mempersoalkan ketiadaan polis pengiring ketika melakukan transaksi pengeluaran BAP.

"Mana boleh tiada pengiring, sekolah kami semalam siap naik kereta polis, bunyi siren lagi," katanya.

Pemilik akaun @Pauzi888000 pula berkata, tindakan cuai oleh lelaki berkenaan boleh dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

"Satu kecuaian yang membolehkan tindakan tatatertib dan surcaj. Kesian," katanya.