PUTRAJAYA - Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan digesa segera mengambil tindakan terhadap jambatan usang berhampiran Kampung Orang Asli Brooke Lama, Gua Musang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jakoa telah membina sebuah jalan konkrit di sebelah belakang kawasan kampung yang seterusnya bersambung dengan jalan berturap tar menuju ke Kampung Orang Asli Liak dan Kuala Rengil.
"Sekiranya memerlukan proses baik pulih atau penambahbaikan, Kesedar dan Jakoa perlu melakukannya demi keselamatan penduduk," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, setelah siasatan dilakukan jambatan tersebut bukanlah satu-satunya laluan keluar masuk yang ada di kawasan tersebut.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan lebih 500 penduduk di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke di sini, memohon pihak bertanggungjawab untuk menggantikan sebuah jambatan besi berusia 15 tahun di kampung itu yang semakin usang.
Penghulu, Rian Bujang, 48, berkata, jambatan besi menyeberangi Sungai Belatop itu hanya boleh dilalui dengan motosikal atau berjalan kaki untuk penduduk membuat pelbagai urusan termasuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan Brooke.