KUALA NERUS - Seorang anggota keselamatan tidak menyangka menjumpai bangkai seekor tuntung laut betina dalam keadaan terdampar di pesisir Pantai Seberang Takir, di sini pada pagi Selasa.
Muhammad Azrul Izzham Zulkifli, 31, berkata, ketika itu dia bersama seorang lagi rakan membantu mencari telefon bimbit yang terjatuh di celah batu di kawasan itu.
"Kalau ikutkan hari ini saya cuti dan tidak bekerja namun kebetulan ada terima panggilan minta tolong cari telefon bimbit yang terjatuh di celah batu di kawasan itu.
"Ketika sedang meniti batu, saya ternampak seekor haiwan bercangkerang dalam keadaan terdampar di tepi pantai. Saya sangka ia masih hidup. Ketika itu saya hanya terfikir ia seekor penyu, tak sangka pula jumpa tuntung laut," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Menurut Muhammad Azrul Izzham, dia segera menghubungi Jabatan Laut serta agensi berkaitan untuk memaklumkan penemuan spesies haiwan terancam itu.
Difahamkan, tuntung laut betina seberat lima kilogram yang dijumpai kira-kira jam 9 pagi itu dipercayai terdampar di situ dalam tempoh sembilan jam.
Sementara itu, berdasarkan maklumat diperoleh melalui Facebook rasmi Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia, terdapat dua jenis tuntung iaitu tuntung sungai atau nama saintifiknya batargur affinis dan tuntung laut (batagur borneoensis).
Jelas kenyataan itu, tuntung sungai dilindungi sepenuhnya manakala tuntung laut dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Kenyataan itu berkata, kedua-duanya dikategorikan sebagai sangat terancam di bawah Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa bagi pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) yang mana spesies itu berdepan risiko tinggi untuk pupus sekiranya tiada usaha konservasi yang dilaksanakan bagi memulihara populasinya.