KAJANG - Ibu bapa atau penjaga kepada seorang kanak-kanak lelaki disyaki mangsa dera yang ditinggalkan bersendirian di tepi jalan simpang tiga berhampiran Apartmen Cheras Utama, Batu 9 Cheras pada Jumaat diminta tampil bagi membantu siasatan.
Demikian nasihat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu meluangkan masa melawat kanak-kanak berkenaan di Hospital Kajang.
"Saya harap ibu bapa kanak-kanak tersebut tampil. Mereka mungkin telah melakukan kesilapan tetapi lebih baik tampil untuk membantu kerana tindakan tidak membantu ini akan lebih memburukkan keadaan.
"Mereka akan lakukan kesilapan lebih besar jika terus membiarkan kanak-kanak ini tanpa diketahui identiti," katanya selepas meluangkan masa hampir sejam melawat mangsa serta pesakit kanak-kanak lain di wad pediatrik Hospital Kajang pada Selasa.
Difahamkan, identiti mangsa masih belum diketahui susulan tiada waris keluarga tampil menuntut kanak-kanak berkenaan.
Ismail Sabri berkata, pihaknya turut berharap kanak-kanak berkenaan diberikan rawatan terapi bagi membantunya bercakap.
"Kanak-kanak ini sudah semakin sembuh tapi tidak boleh bercakap. Saya tidak pasti ia disebabkan trauma atau takut tapi apabila kita berkomunikasi, dia dengar dan boleh respons.
"Saya harap dengan penjagaan yang baik di sini, mungkin dibuat terapi untuk bolehkannya bercakap dan saya doakan dia berjaya dipulihkan.
"Saya juga dimaklumkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengambil tindakan selanjutnya bagi proses penjagaan selepas kanak-kanak ini sihat," katanya.
Pada Sabtu, media melaporkan seorang kanak-kanak ditemui dengan beberapa kesan kecederaan pada tubuh, tangan dan dahi.
Kanak-kanak tersebut yang lengkap berpakaian ditemui di tepi jalan oleh seorang lelaki berusia 36 tahun pada jam 11.30 malam, Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan memaklumkan pihak polis sedang mengesan keluarga kanak-kanak berkenaan.