SERDANG - 'Perjalanan' seorang wanita membawa 50 ketulan disyaki ganja mampat memakan diri apabila diberkas di Lestari Perdana 3, Seri Kembangan di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan wanita berusia 27 tahun itu yang sedang memandu kereta jenis Toyota Vios secara sendirian kira-kira jam 6 petang.
"Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Kelantan menghala ke Lembah Klang dipercayai untuk membuat pengedaran, hasil pemeriksaan di but kereta wanita terbabit, pihak kami menemui kira-kira 50 kilogram dadah disyaki ganja bernilai RM150,000.
"Suspek merupakan penganggur dan baru aktif dalam kegiatan pengedaran dadah, ujian air kencingnya juga disahkan positif dadah jenis Methampahetamin," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini, hari ini.
Ismadi berkata, bekalan dadah itu dipercayai dibawa masuk dari sempadan melalui Kelantan sebelum diedarkan di sekitar Lembah Klang.
Katanya, siasatan masih dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai rangkaian ahli sindiket lain yang masih bebas.
"Suspek yang masih bujang itu direman selama tujuh hari sehingga 23 April. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.