PRN: Noh bimbang pengundi tolak calon UMNO

Iklan
Noh

SHAH ALAM - Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengakui bimbang seandainya pengundi menolak calon-calon daripada parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan datang.

Beliau berkata, ia susulan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 pada Sabtu memutuskan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Iklan
Iklan

"Sekarang UMNO bakal berhadapan dengan PRN di enam negeri. Alasan yang sama digunakan iaitu mengelakkan perpecahan dalam parti.

"Saya amat bimbang pengundi di enam negeri ini akan menolak calon-calon daripada UMNO,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Dalam masa sama, beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO mendedahkan, alasan beliau tidak bangun bagi menyokong usul dua jawatan utama tidak dipertandingkan adalah kerana bimbang langkah tersebut bakal memberi impak negatif terhadap demokrasi dalam parti.

Malah katanya, usul yang dibawa itu juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat MKT.

Iklan

"Apa yang berlaku adalah usul tersebut adalah usul tambahan dan bukan usul pindaan. Perkara 20 Perlembagaan UMNO merujuk kepada usul pindaan bukan tambahan.

"Jadi usul tambahan tersebut tidak melalui mesyuarat MKT dan saya lihat ini bercanggah dengan peraturan sedia ada.

"Kalau usul tersebut dibincangkan dalam MKT, saya akan menyokongnya. Kalau dulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menang bertanding tanpa apa-apa jawatan dalam kerajaan, tidak mustahil beliau mampu menang memandangkan beliau sekarang adalah seorang Timbalan Perdana Menteri,” ujarnya.