Butir matan palsu: 3 termasuk dua pegawai penguat kuasa ditahan

Iklan
Tiga individu direman bagi membantu siasatan kes guna dokumen mengandungi butir matan palsu bagi kerja-kerja perkhidmatan dan pembaikan bangunan di sebuah daerah di Sarawak pada 2019.

SHAH ALAM - Tiga individu termasuk dua pegawai penguat kuasa direman bagi membantu siasatan kerana disyaki menggunakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi kerja-kerja perkhidmatan dan pembaikan bangunan di sebuah daerah di Sarawak pada 2019.

Perintah reman dua hari bermula Selasa hingga Khamis itu dikeluarkan oleh Majistret, Flavian Edward Henry di Mahkamah Majistret Sibu, Sarawak terhadap seorang suspek yang juga pengurus syarikat swasta.

Iklan
Iklan

Manakala dua pegawai penguat kuasa direman selama empat hari bermula Selasa hingga Sabtu.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret, Siti Farah Ibrahim di Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut pada Selasa.

Iklan

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40-an itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Sarawak pada petang Isnin.

"Pengurus syarikat berusia 30-an ditahan kira-kira jam 3.30 petang di pejabat SPRM Cawangan Sibu, manakala dua pegawai penguat kuasa itu pula ditahan di pejabat SPRM Kuching pada jam 3.15 petang.

Iklan

"Pengurus syarikat itu dipercayai bersubahat dengan pegawai penguat kuasa tersebut untuk mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM20,000 sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.