KPerak tanggung defisit RM1 juta

Iklan
Hasnul Zulkarnain ketika menjawab soalan lisan pada Sidang DUN Perak, hari ini.

IPOH - KPerak yang kini dikenali Digital Perak Corporation Holdings (DigitalPerak) menanggung defisit hampir RM1 juta akibat kos tanggungan berlebihan.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, tahun ini, peruntukkan sebanyak RM3 juta untuk syarikat itu tidak dapat menampung perbelanjaan keseluruhan bagi 2019.

Iklan
Iklan

"Bagi menampung perbelanjaan ini, pelan tindakan bagi membaik pulih kewangan syarikat telah dilaksanakan.

"Perbelanjaan atau kos tanggungan yang difikirkan tidak perlu sudah dihapuskan bagi tujuan pengurangan perbelanjaan 'overhead'," katanya menjawab soalan lisan dikemukakan Jenny Choy Tsi Jen (Canning-DAP) pada Persidangan Dewan Negeri Perak di sini, hari ini.

Iklan

Bagaimanapun, menurutnya, proses itu tidak melibatkan pengurangan gaji mahupun mengehadkan pemberian elaun, tuntutan lebih masa dan tuntutan perjalanan yang layak dinikmati kakitangan.

"Ini membuktikan, pihak syarikat amat prihatin dengan kebajikan kakitangan walaupun kedudukan kewangan berada pada tahap tidak memuaskan.

Iklan

"Bermula tahun ini juga, syarikat mentadbir sendiri sistem AJIS TV yang akan dijenamakan kelak dengan penjimatan kos operasi lebih daripada RM1 juta setahun," katanya.

Hasnul Zulkarnain (Titi Serong-Amanah) berkata, dengan adanya pentadbiran baharu, imej syarikat yang tercalar sebelum ini sedang dalam proses pemulihan.

"Proses ini sangat membantu syarikat dalam membina kembali serta merapatkan hubungan antara pihak syarikat dan stakeholders.

"Diharap kerajaan negeri dan rakyat dapat bersama-sama memberi kepercayaan semula kepada KPerak supaya manfaat kebaikan kepada rakyat dapat dinikmati dengan kadar lebih efektif dan efisien," katanya.