SEKIAN lama menyimpan impian, akhirnya hasrat pelumba basikal berasal dari Bandung, Indonesia, Aiman Cahyadi untuk menyertai pasukan terbaik Asia, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) tercapai musim ini.
Lebih menggembirakan, pelumba terbaik Indonesia 2022 itu bakal bergandingan dengan idolanya, Mohd Harrif Salleh yang melakar sejarah sebagai pelumba pertama negara memenangi podium keseluruhan Tour du Rwanda musim lepas.
Aiman berkata, dia telah mengikuti perkembangan TSG sejak 2011 dan memasang cita-cita untuk menyertai pasukan bertaraf benua itu suatu hari nanti.
"Terima kasih TSG memberikan kesempatan untuk saya berada di pasukan terbaik Asia. Saya mula mengikuti perkembangan TSG terutama Harrif Saleh pada usia 14 tahun.
"Sejak itu saya berusaha keras untuk memastikan satu hari saya boleh bergandingan dengan beliau dalam satu pasukan," katanya.
Aiman yang pakar dalam pendakian berkata, sebagai pendatang baharu beliau berazam untuk menyumbang seberapa banyak mata bagi membantu TSG muncul pasukan terbaik benua tahun ini.
Menurutnya lagi, dengan kerjasama berpasukan dan perancangan yang teliti, misi tersebut mampu dicapai dan akan mencatat rekod baharu dalam kariernya.
"Ini bukan misi mustahil kerana TSG pernah memenanginya pada 2019. Saya akan berusaha keras menyumbang mata dalam setiap perlumbaan disertai," katanya.
Aiman adalah antara lima muka baharu TSG musim ini selain Jesse Ewart, Zuladri Amin Zulkurnain, Kee Zhe Yie dan Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim.
Dia kini sedang menjalani latihan pusat selama dua minggu bersama 15 lagi rakan sepasukan sebagai persediaan menghadapi perlumbaan pertama musim ini pada akhir Januari ini. - Bernama