MACHANG - Seorang peniaga kedai makan di Kampung Pek di sini masih menjual harga makanan dengan nilai RM1 bagi setiap jenis menu sejak tahun 2016.
Aminah Awang, 55, menetapkan harga tersebut untuk hidangan bubur nasi, mi, bihun dan kuetiau celup serta aneka jenis sosej dan juga minuman di kedai makannya yang dikenali sebagai Kak Tie Mee Celup Dua Amah.
Dia yang lebih dikenali sebagai kak tie dalam kalangan pelanggannya berkata, peningkatan kos harga barang tidak menghalang dia untuk meneruskan perniagaan dengan harga tersebut.
"Tetapi bagi saya selagi masih ada untung, walaupun kecil ia tetap rezeki," katanya kepada Sinar Harian.
Aminah yang merupakan ibu kepada lima orang anak memberitahu, dia pernah melalui saat-saat getir apabila kos bahan utama seperti sawi yang sebelum ini berharga RM5 sekilogram (kg) naik sehingga mencecah RM20.
Ujarnya, selain itu dia turut berdepan dengan peningkatan harga ayam segar dan telur yang tidak menentu ketika ini.
Dia berkata, kekurangan bekalan telur di pasaran sebelum ini menyebabkan dia terpaksa menggantikan bahan mentah itu dengan bebola daging bagi melengkapkan hidangan.
"Semua itu tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan perniagaan dan mengekalkan harga tersebut.
"Tujuan berniaga, selain untung, saya ingin melihat penduduk di sini dapat menikmati hidangan tanpa rasa terbeban. Terutama pelajar-pelajar sekolah," katanya.
Aminah memberitahu, dia gembira apabila setiap pelanggan yang datang ke kedainya dapat menikmati hidangan tersebut pada harga RM1.
Ujarnya, dia bantu oleh anak-anaknya untuk menguruskan kedai yang dibuka pada jam 12 tengah hari hingga 6.30 petang itu.