KUALA LUMPUR - Kira-kira 1,400 peserta dijangka menyertai acara jelajah berbasikal anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) yang akan berlangsung pada 28 April ini.
Penganjuran JMFR edisi ke-12 pada kali ini lebih bermakna apabila penganjurannya dibuat sempena sambutan ulang tahun ke-20 kewujudan Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung.
TNB melalui kenyataan media berkata, penganjuran tahunan TNB JMFR bertemakan ’Cycling for Green’ turut menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar yang mana yuran RM10 akan disumbangkan kepada projek tanaman semula pokok di persisir pantai sekitar Manjung.
"TNB JMFR berbaki 11 hari sahaja sebelum menggegarkan bumi Manjung, kami menerima penyertaan pengayuh amatur dan berpengalaman dari dalam dan luar negara.
"Peserta bakal mengayuh sejauh 121 kilometer dari Teluk Batik dengan merentasi pekan Parit dan Air Tawar, sebelum kembali ke Teluk Batik. Mereka akan dilepaskan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains,Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis,” kata kenyataan itu hari ini.
Semalam, sebanyak 16 kenderaan TNB lengkap dengan paparan logo acara itu dilancarkan di Dataran Vibrant, Ibu Pejabat TNB di Bangsar.
Majlis disempurnakan oleh Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman; Ketua Pegawai Penjanaan TNB, Ir Roslan Abdul Rahman dan Pengarah Urusan TNBJ, Datuk Shamsul Ahmad serta pegawai TNB yang lain.
JMFR mula diperkenalkan pada 2008 dan mula menjadi program tahunan negeri Perak sejak 2015.