[VIDEO] Sharnaaz mengaku tidak salah cederakan penghuni kondominium

Iklan
Sharnaaz hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu, selepas diikat jamin atas satu pertuduhan sengaja mencederakan seorang lelaki, Jun tahun lalu.

KUALA LUMPUR - Pelakon, Sharnaaz Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas satu pertuduhan sengaja mencederakan seorang penghuni sebuah kondominium di Jalan Dutamas enam bulan lalu.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 38, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, pelakon filem 'Juvana' ini didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 26 tahun, di sebuah kondominium di Jalan Dutamas di sini, pada jam 8.30 malam, 16 Jun 2022 lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Sharnaaz merayu agar kadar ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan.

Iklan

"Sharnaaz merupakan seorang pelakon terkenal, duda anak satu dan turut menjaga anak lelakinya berusia lima tahun," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Atiqah membenarkan Sharnaaz diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pertengahan tahun lalu, media melaporkan, pelakon berusia 38 tahun itu telah direman tiga hari selepas disyaki menumbuk dan menendang seorang penghuni kondominium.

Selepas ditahan, Sharnaaz berkata, kejadian berlaku apabila rakan kepada penghuni kondominium itu membawa minyak masak namun tidak mempunyai kad akses.

Pada September 2017, dia yang pernah membintangi drama 'Suamiku Encik Sotong' telah didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menyebabkan kecederaan dengan cara menumbuk seorang pekerja kelab golf warga Bangladesh.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap Gous Ali di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) di Taman Tun Dr Ismail, Brickfields pada jam 5.30 petang 22 Julai 2017 dan didakwa atas seksyen sama.